LIVERPOOL – Naib juara Liga Perdana England (EPL), Liverpool bersedia untuk meletakkan pemain sayap lincah, Xherdan Shaqiri dalam senarai perpindahan kerana mahu menggantikannya dengan bintang sensasi Villareal, Samuel Chukwueze.
Difahamkan, The Reds tidak akan berbelanja mewah pada jendela perpindahan musim panas ini, namun pengurusnya, Jurgen Klopp dilaporkan bersedia untuk menjual beberapa pemain simpanan dan digantikan dengan pemain yang lebih berkualiti.
Antara nama yang disebut akan dilepaskan Klopp adalah Shaqiri, meskipun pemain antarabangsa Switzerland itu baru semusim bersama Liverpool selepas berhijrah daripada Stoke City musim lalu.
Walaupun Shaqiri lebih kerap memanaskan bangku simpanan, namun pemain berusia 27 tahun berkenaan berjaya menjaringkan enam gol dalam 30 penampilan bersama The Reds yang turut mara ke final Liga Juara-Juara musim ini.
Bagaimanapun, Klopp melihat Chukwueze sebagai pemain simpanan yang lebih baik berbanding Shaqiri dan gaya permainan pemain yang berusia 20 tahun itu juga sesuai dengan corak taktikalnya andai pemain-pemain utama seperti Sadio Mane dan Mohamed Salah mengalami kecederaan.
Pemain antarabangsa Nigeria tersebut telah mempamerkan aksi mantap bersama Villareal dalam saingan La Liga dan Liga Europa musim ini, sekali gus menjadi sasaran buat kelab-kelab besar Eropah mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan kali ini.
Sementara itu, seorang lagi pemain yang akan dilepaskan Liverpool, Simon Mignolet pula bakal dijual sekiranya kelab tersebut mendapat tawaran sekurang-kurangnya £15 juta (RM79.5 juta) dan akan digantikan bekas penjaga gol West Ham, Adrian. – Agensi











