Lima pemain ditapis untuk ke Sukan SEA 2019 - Utusan Malaysia

Lima pemain ditapis untuk ke Sukan SEA 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Mei – Lima pemain akan dipanggil menyertai sesi pemilihan untuk menyertai skuad bola jaring negara ke Sukan SEA di Filipina, November ini.

Bagaimanapun, hanya tiga daripada pemain berkenaan akan diserap ke dalam pasukan negara yang dalam misi untuk mengekalkan kejuaraan di temasya dwi tahunan itu.

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) Alwiyah Talib berkata lima pemain berkenaan ialah Ally Chuo Chung Mei dan Viny Lau Ching Ping (Sarawak), Noor Haidayu Hasmira Hasbullah dan Izwan Syazana Mohd Wazir (Kedah), dan Nuraina Raziani (Johor).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sesi pemilihan akan dijalankan pada Jun ini. Jurulatih juga mencari pemain bola jaring yang boleh bermain lebih daripada satu posisi semasa perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi sukan Bola Jaring di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Alawiyah berkata jurulatih negara Tracey Robinson akan berada di Malaysia mulai Jun ini untuk meneruskan khidmat beliau mempersiapkan skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina.

Jurulatih dari Australia itu pernah membawa skuad bola jaring negara meraih pingat emas, di Sukan SEA Kuala Lumpur menewaskan musuh tradisi Singapura dalam aksi final.

Sementara itu, Alwiyah berkata MSN dan PBJM akan menganjurkan Kejohanan Jemputan Bola Jaring Malaysia untuk menguji ketahanan pemain.

“Negara-negara pesaing seperti Papua New Guinea, Bermuda, Kenya dan Hong Kong telah dijemput dan kita masih menunggu jawapan daripada mereka.

“Kira-kira RM40,000 diperuntuKkan membiayai penginapan, jamuan dan pengangkutan bagi kejohanan berkenaan yang dijadualkan dari 24 hingga 29 Julai di Stadium Juara Bukit Kiara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alawiyah memaklumkan bahawa lima pemain pelapis negara akan menyertai Kejohanan Bola Jaring Asia 2019 (Asian Youth Netball Championship 2019 ) di Kashima, Jepun dari 27 Jun hingga 8 Julai ini.

“Kita mensasarkan pemain pelapis negara mampu meraih gelaran juara kali ini. Kita pernah berada di tempat ketiga pada kejohanan yang lepas,” katanya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini