TEMERLOH 30 Mei – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 92.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 12.50 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, Adi Hakimi Armaya, 25, yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dari kereta jenis Suzuki Swift.
Ketua polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, semasa kejadian, mangsa yang maut bersama dua rakannya
dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Temerloh.
“Apabila tiba di tempat kejadian, dipercayai pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan menyebabkam kenderaan berpusing dan seorang penumpang tercampak keluar.
“Penumpang belakang yang tercampak keluar meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan dan pemandu mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama. – UTUSAN ONLINE











