IPOH 19 Mei – Seorang lelaki maut selepas ditetak dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah kelab malam di Bandar Baru Medan Ipoh di sini, awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pada pukul 8 pagi itu menyebabkan, mangsa, S. Kanakaran, 35, mengalami kecederaan parah selepas dia diserang empat lelaki bersenjatakan parang.
Mangsa yang bekerja sebagai pemandu bagaimanapun meninggal dunia ketika dibawa masuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai bermula di dalam kelab malam tersebut sebelum berlarutan sehingga ke luar premis.
“Kejadian berlaku ketika mereka sedang berhibur dan mabuk. Ia berlarutan sehingga ke luar kelab malam dan melibatkan senjata tajam iaitu parang.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan tetakan pada tubuh badan mangsa sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis kini sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan.
“Motif sebenar kejadian masih disiasat dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











