PONTIAN 19 Mei – Seramai 150 golongan kurang bernasib baik menerima sumbangan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi) menerusi program Kembara Modal Insan 3.0:Semarak Kasih Ramadan di Tanjung Piai di sini semalam.
Penerima sumbangan terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan, orang kurang upaya (OKU), mereka yang sakit, uzur, ibu tunggal dan anak yatim bagi meringankan beban pada Ramadan dan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Setiap penerima membawa pulang barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak, gula, kopi, susu, kordial dan kurma selain kain batik, kain pelikat serta duit raya.
Majlis penyampaian sumbangan diadakan di pekarangan kediaman Pengerusi Legasi, Datuk Jefridin Atan di rumahnya dan selepas itu semua penerima kemudiannya diraikan dalam satu majlis berbuka puasa.

Menurut Jefridin, program itu sebagai tanda prihatin Legasi terhadap golongan yang memerlukan di samping mengajak masyarakat untuk sama-sama membantu mengikut kemampuan masing-masing yang boleh disumbangkan dalam bentuk wang tunai mahupun barangan keperluan.
“Dengan membawa nama Kembara Modal Insan, kami percaya inisiatif ini dapat meneruskan legasi kepimpinan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan sambil menyantuni dan mendekati golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir khasnya mereka yang memberi kerjasama menjayakan Kembara Modal Insan 3.0:Semarak Kasih Ramadan seperti pihak Masjid Jamek Perpat Timbul, penaja-penaja sumbangan dan penduduk Tanjung Piai.
Kembara Modal Insan 3.0 ini adalah kesinambungan daripada Kembara Modal Insan 1.0 yang diadakan pada tahun lalu iaitu penyampaian sumbangan kepada Sekolah Kebangsaan Sri Bunian dan Sekolah Kebangsaan Sungai Durian, dekat sini.
Kembara 2.0 pula Legasi ke Kampung Sungai Kuali, Serkat di sini bagi menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Siti Nur Aaira Ameera Mohd. Mamdoh, bayi berusia sembilan bulan yang menghidap penyakit hati
Legasi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan dua tahun lalu akan mempelbagaikan lagi aktiviti membantu golongan yang memerlukan di samping menganjurkan program-program bersifat ilmiah dan advokasi seperti forum, simposium dan syarahan umum dalam dan luar negara. – UTUSAN ONLINE











