Lebih 400 jalani pemeriksaan HIV - Utusan Malaysia

Lebih 400 jalani pemeriksaan HIV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD 16 Mei – Lebih 400 orang, keba­nyakannya kanak-kanak menjalani pemeriksaan HIV di kawasan perkampungan di selatan negara ini selepas ratusan penduduk didakwa dijangkiti virus berbahaya itu gara-gara penggunaan jarum suntikan tercemar oleh doktor.

Pasukan polis turut dike­rahkan ke lokasi bagi me­ngawal keadaan selepas ibu bapa menyerbu lima bilik pemeriksaan di perkampu­ngan Wasayo, pinggir bandar Larkana di wilayah Sindh.

Kemarahan dan ketakutan menyelubungi perkampungan miskin itu akibat penyebaran wabak yang disifatkan pihak berkuasa berpunca daripada kecuaian atau perbuatan khi­anat doktor tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka datang secara beramai-ramai,” kata seorang doktor di bilik pemeriksaan yang tidak dilengkapi dengan peralatan serta kakitangan mencukupi itu.

Terdahulu, pakar kesihatan menyatakan punca pe­ningkatan kadar jangkitan HIV berlaku disebabkan oleh penggunaan peralatan kurang bersih dan amalan rawatan oleh pengamal perubatan tradi­sional yang tidak praktikal.

Wujud dakwaan jangkitan terbabit terjadi akibat penggunaan jarum suntikan yang tercemar digunakan oleh doktor tempatan.

“Saya mengutuk doktor yang menyebabkan semua kanak-kanak ini dijangkiti HIV. Kesemua keluarga saya berasa marah,” kata seorang penduduk tempatan, Imam Zadi yang menemani lima anaknya untuk diperiksa selepas cucunya disahkan positif HIV.

Kebanyakan penduduk tempatan berasa khuatir tentang nasib anak-anak mereka selepas dijangkiti HIV terutamanya di negara di mana komuniti luar bandar tidak mempunyai pemahaman mencukupi berhubung pe­nyakit itu.

“Dengan siapa dia akan bermain? Dan apabila dia dewasa, siapa akan berkahwin dengannya?” soal seorang lagi penduduk kampung yang enggan dikenali mengenai anak perempuannya berusia empat tahun yang turut disahkan positif HIV.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pakis­tan merupakan negara kedua di Asia yang merekodkan kadar peningkatan jangkitan HIV terpantas. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini