KUALA LUMPUR 25 Mei – Lebih 2,000 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai di sini menerima pelbagai jenis sayur-sayuran percuma sempena bulan Ramadan menerusi inisiatif Food Bank Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Program tersebut merupakan anjuran Jawi dengan kerjasama Pertubuhan Gerakan Perpaduan Wilayah Persekutuan (GPWP).
Pengerusi GPWP, Muhammad Helmi Azhar berkata, sumbangan yang diagihkan itu bertujuan membantu dan menceriakan golongan asnaf sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Ini merupakan kerjasama pertama dengan Jawi dan selepas ini sudah pasti lebih ramai golongan sasar akan dapat dibantu.
“Peranan kami adalah menyediakan bahan mentah manakala Jawi akan mencari keluarga asnaf. Kerjasama ini akan diadakan secara berterusan dan bukannya pada bulan puasa semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. – UTUSAN ONLINE











