LANGKAWI 25 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu Pulau Langkawi menjadi pusat pengeluaran beras pulut terbesar negara sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan bekalan itu dari negara jiran.
Perdana Menteri berkata, usaha tersebut sudah dimulakan oleh Jabatan Pertanian yang mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk mengusahakan tanaman itu secara berasingan daripada padi biasa.
Menurut beliau, usaha itu juga dijangka boleh meningkatkan tahap ekonomi penduduk tempatan kerana harga beras pulut yang kini lebih tinggi di pasaran.
“Para petani boleh meraih pendapatan tambahan sekiranya mereka mahu menyahut saranan menanam padi pulut ini di samping tanaman padi biasa.
“Sekiranya berjaya, kita harap produk itu dapat menjadikan Langkawi sebagai pulau pengeluar padi pulut terbesar,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA), di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, bukan sahaja penanaman padi pulut mampu mengubah nasib para petani di pulau ini, bahkan tanaman sayur-sayuran yang negara turut bergantung kepada sumber luar ketika ini.
Menurut beliau, ini terbukti apabila sektor perhotelan di Langkawi terpaksa mengambil sayur-sayuran dari tanah besar dan negara jiran yang merugikan pelbagai pihak.
“Sebaliknya kalau penduduk Langkawi rajin tanam sayur-sayuran, maka ia akan dapat meningkatkan pendapatan yang jauh lebih tinggi dan lumayan kepada mereka yang sanggup berusaha.
“Malah, saya yakin bagi yang menjadi peladang sejak sekian lama dan sudah berusia mungkin tak mampu lagi, jadi anak-anak mereka patut berusaha supaya menambah pendapatan yang boleh juga diagih kepada keluarga masing-masing,” ujarnya.
Terdahulu, pada majlis itu, Dr. Mahathir menyampaikan bantuan bencana kemarau kepada 140 orang petani di Parlimen Langkawi yang mengalami kerugian akibat bencana kemarau yang panjang sejak Disember lalu hingga Mac tahun ini.
Bantuan sebanyak RM290,000 itu melibatkan kawasan seluas 219 hektar yang terjejas bagi meringankan beban kerugian yang terpaksa ditanggung mereka. – UTUSAN ONLINE











