JAKARTA 17 Mei – Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) mengarahkan Komisi Pemilihan Umum (KPU) supaya memperbaiki prosedur kemasukan data ke dalam Sistem Informasi Penghitungan Suara (Situng) dengan segera selepas mendapati berlaku pelanggaran prosedur dalam proses itu.
Lapor Liputan 6, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Bawaslu, Abhan ketika membacakan keputusan pelanggaran prosedur dalam pemilihan umum (Pemilu) 2019 yang dihadiri oleh lima pemimpin tertinggi Bawaslu di pejabat berkenaan di sini, semalam.
Seorang lagi anggota majlis Bawaslu, Ratna Dewi Petalolo berkata, berdasarkan penelitian yang dilakukan, KPU melakukan banyak kesalahan dalam memasukkan data ke dalam Situng.
Bahkan kata beliau, ada di antara pegawai jawatankuasa pusat mengundi (KPPS) sendiri yang masih keliru untuk mengisi Borang C1.
“Perkara 532 dan 536 undang-undang Pemilu menyebut mana-mana pihak yang sengaja melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab dengan menambah atau mengurangkan undi boleh dihukum penjara sehingga empat tahun dan denda 48 juta rupiah (RM14,000),” katanya.
Dalam pada itu, Ketua KPU, Arief Budiman memberitahu, pihaknya akan mengumumkan keputusan rasmi pilihan raya Presiden (pilpres) pada 25 Mei ini, sejurus selepas proses ringkasan keputusan kiraan undi peringkat nasional diumumkan.
Bagaimanapun katanya, tarikh itu berkemungkinan boleh dipanjangkan sekiranya wujud pertikaian dalam proses pengiraan undi.
“Kita terpaksa tunggu sehingga semuanya selesai,” katanya.
Arief memberitahu, KPU menetapkan pemenang pilpres pada 22 Mei dan tiga hari kemudian jika tiada sebarang pertikaian dalam tempoh tiga hari, maka KPU akan mengumumkan keputusan rasmi pilpres pada 25 Mei ini.
“Jika tiada sebarang halangan, keputusan jumlah kerusi dan calon anggota legislatif juga boleh ditetapkan pada hari yang sama,” jelasnya. – AGENSI











