SUNGAI PETANI 23 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri telah memeriksa sebanyak 2,007 premis perniagaan sejak hari pertama Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dikuatkuasakan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, R. Summugam berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan yang membabitkan peniaga melanggar peraturan.
“Kesemua peniaga perlu patuh dengan skim yang dikuatkuasakan selama sebulan mulai 21 Mei hingga 19 Jun ini iaitu menjual 27 barangan dengan harga yang dibenarkan sahaja. Jenis barangan meningmat berbanding 21 jenis barangan sahaja sebelum ini.
“Apabila skim ini diperkenalkan, pengguna boleh menikmati pelbagai manfaat dengan harga barang yang berpatutan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan SHMMP Hari Raya 2019 Peringkat Negeri di Mydin Mall Taman Batik di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Mohammad Fitri Hassan.
Tambah Summugam, peniaga yang melanggar peraturan daripada skim tersebut berdepan dengan risiko sekiranya KPDNHEP menerima aduan kelak.
“Pemeriksaan semasa dan pemantauan rapi akan diteruskan termasuk di kawasan luar bandar sebagai langkah untuk menyekat peniaga menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya selain memberi peluang pengguna dapat membeli barang pada harga berpatutan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











