PUTRAJAYA 28 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bekerjasama erat dengan organisasi awam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam mempertingkatkan keselamatan pesakit di negara ini
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kerjasama erat itu melalui pelbagai strategi seperti promosi dan pembelajaran, penghasilan polisi keselamatan pesakit, pembangunan persekitaran serta reka bentuk fasiliti kesihatan yang selamat.
Kerjasama lain melibatkan kaedah rawatan yang selamat, mewujudkan piawaian keselamatan, pemantauan dan penyelidikan.
“Pihak kementerian akan meneruskan kerjasama utuh ini bukan sahaja di dalam negara malahan jua di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu sempena Resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-72 Pertubuhan Kesihatan Seduia (WHO) Berkaitan “Tindakan Global Mengenai Keselamatan Pesakit” di Geneva, Switzerland pada Sabtu lalu.
Resolusi itu antara lain menggesa negara-negara ahli untuk menjadikan keselamatan pesakit sebagai keutamaan kesihatan dan mengambil tindakan bersepadu bagi mengelakkan kemudaratan pesakit semasa menerima rawatan.
Menurut Dr. Noor Hisham, resolusi tersebut turut menekankan bahawa keselamatan pesakit sebagai elemen kritikal perlindungan kesihatan sejagat (Universal Health Coverage) dan rakyat boleh merasa yakin bahawa sistem penjagaan kesihatan yang disediakan adalah selamat.
Negara-negara ahli juga jelasnya, perlu mengukuhkan aspek keselamatan dalam sistem penjagaan kesihatan berdasarkan sains di mana pengetahuan dan bukti-bukti yang diperolehi melalui kajian perlu digunakan dalam perancangan, pembentukan polisi kesihatan dan perkhidmatan kesihatan.
Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-72 tersebut juga telah mengisytiharkan 17 September sebagai “Hari Keselamatan Pesakit Sedunia”.
Dalam hal ini jelas Dr. Noor Hisham, Malaysia akan terus memberikan komitmen dan berusaha untuk mempertingkatkan Keselamatan Pesakit.
“Marilah kita bekerjasama demi keselamatan pesakit, “ katanya. – UTUSAN ONLINE











