KM 272.7 lebuh raya utara selatan ditutup akibat tanah mendap - Utusan Malaysia

KM 272.7 lebuh raya utara selatan ditutup akibat tanah mendap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 28 Mei – Laluan kiri antara Kilometer 273.8 hingga Kilometer 272.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini terpaksa ditutup sementara untuk lalu lintas ekoran berlaku mendapan tanah.

Mendapan tanah di Kilometer 272.7 itu menyebabkan wujudnya lubang selebar 2.1 meter dengan kedalaman 2.1 meter yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan berkata, lubang itu dikesan oleh pasukan PLUSRonda yang melakukan rondaan di laluan tersebut pada pukul 3.30 petang semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, laluan itu telah ditutup serta merta melibatkan lorong kiri yang bermula dari Kilometer 273.8 hingga Kilometer 272.5 bagi mengelak berlakunya kemalangan.

“Pemeriksaan telah dilakukan di sekitar kawasan berkenaan dan tidak menjumpai mendapan lain. Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan ekoran kejadian itu,” katanya.

Menurut PLUS, pemantauan masih dilakukan di kawasan sekitar tempat kejadian oleh pasukan penyelenggaraan PLUS dengan kerjasama pakar.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca mendapan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, PLUS dalam ciapannya di laman Twitter berkata, semua lorong ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan pada pukul 1.48 pagi hari ini untuk kerja-kerja pembaikkan jalan.

“Kesesakan dianggarkan sejauh enam kilometer dan aliran trafik di laluan berkenaan dilencongkan ke Tol Ipoh Selatan sebelum masuk semula di Tol Ipoh Utara,” katanya.

Difahamkan, lorong kanan laluan berkenaan telah pun dibuka kepada semua kenderaan pada pukul 3.55 petang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini