LONDON 13 Mei – Jurgen Klopp mungkin tidak berjaya merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris namun boleh berbangga kerana dua pemain Liverpool, Sadio Mane dan Mohamed Salah berjaya merangkul anugerah Kasut Emas bersama penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang yang pernah bersamanya semasa di Borussia Dortmund.
Menjelang perlawanan terakhir, Salah merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 22 gol manakala Mane dan Aubameyang masing-masing memiliki 20 gol dan kemudian meledak dua gol untuk berkongsi kejayaan yang sama.
Sergio Aguero hampir meraih anugerah itu selepas berjaya menjaringkan gol ketika Manchester City menang 4-1 ke atas Brighton tetapi dia hanya meraih 21 gol selepas tamat permainan.
Harry Kane pada awalnya merupakan antara pencabar untuk anugerah itu namun gagal merealisasikannya selepas mengalami kecederaan buku lali pada pertengahan April dan dia meraih 17 gol musim ini.
Klopp jelas gembira dengan tiga pemain itu apabila berjaya meraih anugerah yang sama dan dia mengetahui Aubameyang turut berada dalam senarai selepas pemain itu meledak dua gol semasa menentang Burnley.
“Adakah kita memiliki dua penjaring terbanyak?
“Oh, Auba menjaringkan dua gol? di Burnley? Wow, saya tidak menjangkakan perkara itu.
“Macam mana mereka akan uruskan perkara ini? Adakah mereka akan sediakan tiga Kasut Emas atau setiap pemain akan bergilir setiap tiga bulan?,” katanya sambil berseloroh.-AGENSI











