KUALA LUMPUR 12 Mei – Veteran DAP, Lim Kit Siang masih diperlukan dalam Malaysia baharu walaupun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diberi jaminan untuk menjadi Perdana Menteri atau tidak.
Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana perjuangan PH perlu dilakukan secara bersama-sama.
Timbalan Perdana Menteri memberitahu, peralihan kuasa bagaimanapun bergantung kepada kepemimpinan parti.
“Peralihan kuasa itu bergantung kepada kepemimpinan. Tetapi tak apa. Saya nak lah juga Yang Berhormat (Kit Siang). Kita bersama-sama dalam menuju Malaysia baharu ni kan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Jururawat Antarabangsa 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dekat sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefli Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Khamis lalu, Kit Siang dalam ucapan sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan mengakui akan bersara sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menunaikan janji melepaskan jawatan kepada Anwar.
Kit Siang malah berjanji tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengeluarkan kenyataan sedemikian sebagai memberi maklum balas terhadap kenyataan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa Dr. Mahathir tidak akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.
Mohamad juga mendakwa Dr. Mahathir akan membubarkan Parlimen dan membuat pilihan raya baharu. – UTUSAN ONLINE











