Kes Adib: Kerajaan sentiasa bersikap telus, adil - Utusan Malaysia

Kes Adib: Kerajaan sentiasa bersikap telus, adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 6 Mei – Tuduhan kononnya kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba menyembunyikan kebenaran di sebalik insiden kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim adalah tidak benar sama sekali, tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaanlah yang telah membuat keputusan untuk mengadakan inkues bagi mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafiled.

Menerusi inkues berkenaan katanya, segala bukti mengenai punca kematian Allahyarham dapat dikemukakan kepada mahkamah koroner dalam prosiding yang diadakan secara terbuka dan telus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya inilah bukti kerajaan tidak berhasrat untuk menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan umum berhubung punca kematian Allahyarham Muhammad Adib. Malah kerajaan sentiasa bersikap telus dan adil dalam hal ini,” katanya dalam temubual bersama media sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) peringkat kementeriannya di sini baru-baru ini.

Menurut Muhyiddin, insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman yang berpunca daripada pertikaian antara pemaju dan pihak pengurusan kuil telah dijadikan isu perkauman oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara keselamatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi PDRM katanya, telah mengambil tindakan tegas dengan menahan pihak-pihak yang mencetuskan rusuhan dan membawa mereka ke muka pengadilan.

“Susulan kes ini, PDRM telah menangkap 39 orang dengan tujuh daripada mereka telah dituduh di mahkamah.

“Alhamdulillah, dengan ketegasan PDRM, rusuhan tersebut telah berjaya dibendung daripada mencetuskan insiden rusuhan yang lebih besar, “ katanya.

Mengikut laporan, Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Mahariaman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lalu.

Kerajaan kemudiannya mengarahkan satu inkues diadakan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Allahyarham. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini