RANCANGAN FGV Holdings untuk meneroka penanaman ladang durian, disambut banyak pihak secara positif.
Tidak pasti pula apakah penanaman durian ini adalah satu daripada agenda yang disebut di dalam Kertas Putih Felda pada 10 April lalu di Dewan Rakyat.
Semasa meneliti Kertas Putih tersebut tidak perasan perkataan ‘durian’. Tidak mengapa. Cuma mohon maaf awal, Merrepak hari ini agak serius.
Pertamanya, sorotan terhadap Kertas Putih menyentuh mengenai perkara-perkara utama yang disarankan yang sebilangannya sudah dilapor di dalam akhbar. Berikut saya bentangkan secara yang mudah dibaca dan dihadam:

Perkara Utama yang Disarankan dalam Kertas Putih
1. Kepimpinan Dalam Kalangan Profesional – tiada campur tangan politik serta hendaklah berpengalaman dalam bidang urusan ladang dan pembangunan komuniti. Bukan tangkap muat, apa lagi kroni.
2. Menangani Masalah Aliran Tunai Kritikal – menyusun semula struktur hutang Felda, misalnya memanjangkan tempoh bayaran balik dengan matlamat mengapuskan faedah hutang peneroka dan menguruskan pinjaman mereka. Dinyatakan bayaran tahunan bermula 2020 hingga 2028, purata RM1.25 bilion setahun.
Persoalannya, apakah asas keupayaan Felda untuk membayarnya. Walaupun ada bantuan kerajaan sebanyak RM6.23 bilion tetapi ia bukan untuk bayar hutang semata-mata. Kerajaan juga perlu nyatakan pecahan antara geran, pinjaman dan surat jaminan.
Apakah asas penyusunan semula hutang tidak wajar peneroka ini dan jelaskan apakah usaha yang berkesan supaya peneroka mencapai hasil 100 peratus.
3. Rasionalisasi Pelaburan dan Kepentingan Felda – Penstukturan semula syarikat dan pelaburan Felda serta pelupusan aset dan penamatan operasi syarikat tidak aktif. Jumaat lalu, diumumkan dua entiti dijual iaitu Felda Engineering Services Sdn. Bhd. dan Felda Properties Sdn. Bhd., yang bukan sebahagian daripada perniagaan terasnya. Wujud keperluan untuk pengurusan memperincikan butiran transaksi dan dedahkan kesan kewangan daripada gerak tindak ini.
4. Model Felda Baharu – Sewaan tanah jangka panjang; program pembangunan peneroka hasil baharu seperti aktiviti tanaman dan ternakan; model pengurusan ladang melalui pengukuhan koperasi dan FTP.
Setakat ini, tiada Koperasi Rancangan yang berpengalaman menguruskan kebun berskala besar. Projek ini sama dengan ‘Program Gedung Makanan Negara’ yang pernah diperkenalkan oleh Felda tetapi tidak berjaya. Bagaimanakah struktur baru yang boleh manjamin kejayaannya?
5. Pemerkasaan Peneroka & Generasi Baharu – Skim bantuan baharu yang lebih fleksibel; Infra sosial dan fizikal; kualiti pendidikan; projek perumahan; pembangunan model insan dan pembudayaan sikap positif dan kompetitif.
Cadangan untuk penambahbaikan peneroka dan generasi baharu adalah tanggungjawab Felda, soalnya setakat mana kemampuan Felda membiayainya masa kini dan masa depan?
Apakah kekurangan Kertas Putih Felda ini?
A) Ia tidak menyentuh isu besar Felda terutama tentang aliran tunai jangka panjang dan pendapatan Felda yang stabil dan mampan. Kejayaan Kumpulan Felda yang lepas adalah kerjasama rapat antara Felda dan anak-anak syarikat Felda Holdings yang kini di bawah FGV.
B) Isu dan peranan FGV tidak dinyatakan dalan strategi pemulihan Felda ini. Sedangkan khidmat pengilangan, pemprosesan dan pemasaran hasil kebun peneroka dilaksanakan oleh FGV.
C) Pemulangan tanah LLA tidak disebut untuk menjamin ‘pendapatan berkekalan’ masa depan Felda seperti terdahulu.
Perkara yang tidak disarankan di dalam Kertas Putih Felda
1. Peranan FGV dalam Felda Pendapatan utama Felda adalah daripada pelaburannya dalam FGV – Pembayaran LLA, Perkongsian Keuntungan Perladangan dan Dividen.
Kegagalan Felda adalah disebabkan kegagalan FGV untuk memberikan hasil pendapatan yang dijanjikan. FGV sepatutnya memberi antara RM600 juta-RM1 bilion kepada Felda setiap tahun. Pada 2017-2018, pelaburan dari FGV adalah hanya RM250 juta. Ringkasnya, penyenaraian FGV adalah punca utama kegagalan Felda hari ini.
Memburukkan keadaan, FGV bertindak memindahkan pejabatnya atas alasan mengurangkan kos FGV sekali gus mengurangkan pendapatan Felda. Tidak boleh dibawa bincangkah terlebih dulu?
Mungkin telah tiba masanya memanggil semula pakar Felda untuk memberi suntikan formula kejayaan mereka atau tokoh korporat bumiputera berjaya seperti Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary atau Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah. Mengapa tidak?
2. Volatiliti Harga Pasaran
Pendapatan Felda dan peneroka bergantung pada harga pasaran CPO. Sebelum ini, Felda mempunyai mekanisme untuk menguruskan pendapatan peneroka daripada kesan turun naik harga pasaran.
Namun, kertas putih ini tidak menumpukan perhatian kepada penentuan pendapatan yang paling penting untuk peneroka iaitu bagaimana Felda dapat menguruskan ketidaktentuan harga pasaran masa depan.
3. Model Perniagaan Felda
Dari awal Felda mempunyai kedudukan kewangan, operasi dan struktur yang kukuh berdasarkan model perniagaan yang terbukti. Kemasukan Agensi Pemandu oleh pentadbiran sebelum ini untuk menukar model perniagaan Felda telah menjadi kegagalan yang besar. Industri komoditi dan rantaian bekalan serta nilai keseluruhannya adalah sangat kompleks.
Malangnya, kertas putih Felda tidak menangani isu model perniagaan Felda masa kini dan masa depan yang mampan. Contohnya, penjualan kilang penapisan Felda kepada IFFCO telah menghalang Felda dan sekarang FGV untuk mengembangkan industri hiliran.
Ringkasnya, butiran mengenai pelaksanaan rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang tidak diperincikan. Rumusan yang dibuat masih dipersoalkan dan ini memerlukan kertas putih yang lebih deskriptif kerana pembentangan cadangan masa hadapan Felda masih kabur.











