PUTRAJAYA 3 Mei – Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sedang memikirkan untuk mengalihkan waktu bekerja siang kepada waktu malam dilihat sebagai suatu ‘lapik bahasa’ supaya semua pihak lebih berinovatif.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kenyataan itu menjurus kepada maksud agar semua pihak lebih memikirkan cara-cara terbaik untuk maju ke hadapan.
“Saya tidak membaca itu pada literal waktu malam tetapi saya membaca itu bagaimana kita harus melihat masa depan dengan idea yang lebih inovatif.
“Ini termasuk bagaimana kita menggunakan setiap ruang dalam hidup untuk maju ke hadapan,” katanya kepada pemberita di kementeriannya di sini hari ini.
Perdana Menteri semalam dilaporkan sebagai berkata, kerajaan sedang memikirkan untuk mengalihkan waktu bekerja siang kepada waktu malam dalam sektor pekerjaan tertentu.
Beliau menjelaskan, langkah itu bagi memudahkan pekerja tempatan, terutama mereka yang terpaksa bekerja di tengah panas.
Katanya, ia juga sebagai langkah menggalakkan rakyat bekerja dalam sektor yang kini bergantung kepada tenaga kerja asing.- UTUSAN ONLINE











