Kemelut Posa, MFL selesai - Utusan Malaysia

Kemelut Posa, MFL selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Mei – Kemelut di antara Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akhirnya menemui noktah, semalam.

Ia selepas Presiden FAS, Datuk Posa Majais mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Pertemuan tersebut turut disertai Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi dan Exco badan induk itu, Christopher Raj.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pertemuan itu, Posa diberi peluang meluahkan perkara-perkara yang membuatkan beliau tidak berpuas hati dengan MFL baru-baru ini.

“Selepas mendengar nasihat dan pandangan Hamidin, beliau (Posa) bersetuju untuk tidak berterusan memanjangkan kemelut berkenaan menerusi media.

“Hasil kesepakatan bersama yang dicapai, Posa akhirnya akur isu yang dibangkitkannya itu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL supaya dapat diselesaikan menerusi semangat solidariti sesama keluarga bola sepak Malaysia.

“Selain menerima dan menurut nasihat berkaitan bola sepak yang diberikan Hamidin, Posa turut menyatakan selaku presiden salah satu ahli gabungan FAM, beliau akan memastikan FAS kekal menyokong FAM di bawah kepimpinan Hamidin sebagai badan induk bola sepak negara,” kata FAM dalam satu kenyataan semalam.

Posa sebelum ini mendakwa MFL gagal menjaga kepentingan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M).

Beliau turut mendakwa pentadbir Liga M itu berdepan pelbagai hutang melibatkan geran tahunan pasukan dan mendesak Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam meletak jawatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini