Kembang transaksi tanpa tunai kepada peniaga kecil - Utusan Malaysia

Kembang transaksi tanpa tunai kepada peniaga kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SISTEM pembayaran di dunia pada masa kini semakin berkembang ke arah yang lebih cekap.

Hanya menggunakan telefon pintar untuk mengimbas kod respons pantas (QR) atau pengenalan wajah, transaksi pembayaran juga boleh dilakukan tanpa perlu mengeluarkan wang tunai.

Meskipun begitu, sehingga kini Malaysia masih belum mencapai status masyarakat tanpa tunai kerana kurangnya pendedahan ekonomi digital dalam pengurusan perniagaan terutamanya peniaga kecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menyedari peluang itu, iBOXCHAIN Sdn. Bhd. yang merupakan pengusaha sehenti penyelesaian digital mudah alih bersedia untuk membantu peniaga mikro termasuk peruncit dan penjaja bagi menghadapi gelombang transformasi ekonomi digital.

Ia dilaksanakan menerusi pelancaran aplikasi pembayaran tanpa tunai serta memperkasa perniagaan pintar digital, iBOXCHAIN di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Usaha itu mendapat kerjasama daripada rakan teknologinya Shenzhen iBOXCHAIN IT Co. Ltd. dari China.

Menurut Pengarah Urusan iBOXCHAIN Sdn. Bhd., Mazlan Aziz, bagi merealisasikan budaya tanpa tunai, ia perlu bermula dengan penerimaan tanpa tunai dalam kadar meluas di peringkat komuniti tanpa meminggirkan lapisan masyarakat tertentu.

“Jika hanya lapisan masyarakat kelas menengah atau syarikat besar menggunakan pembayaran tanpa tunai, status sebagai masyarakat tanpa tunai masih belum tercapai dan pasti bukan untuk masa terdekat.

“Jadi, untuk meningkatkan penerimaan tanpa tunai, ia juga harus dimulakan di warung-warung dan kedai runcit agar menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Di China, sistem tanpa tunai dengan pengantara kod QR ini semakin meluas dan kita harus gunakan peluang ini untuk menukar kepada ekosistem pembayaran tanpa tunai,” katanya ketika ditemui Infiniti di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, iBOXCHAIN berpengalaman hampir lapan tahun dan menguasai lebih lapan juta peniaga mikro dan peniaga kecil serta sederhana di China.

Solusi

Menurutnya, aplikasi itu menyediakan solusi pembayaran secara digital untuk peniaga dengan menghubungkan platform e-dompet sedia ada (seperti Touch ‘n Go dan Wechat Pay) melalui integrasi bersama gerbang pembayaran berlesen tertentu yang dapat memacu penerimaan tanpa tunai ke tahap lebih meluas.

Menyentuh tentang keselamatan, kod QR yang digunakan dalam pembayarannya mempunyai simbol yang disulitkan dengan aksara kacau yang sukar untuk ditembusi atau digodam.

Selain itu, iBOXCHAIN dijangka berupaya memperkasa perniagaan kecil apabila ia boleh digunakan bukan sahaja untuk pembayaran tanpa tunai, bahkan juga secara tunai dengan mencatat setiap transaksi jual beli secara digital dengan cekap.

Peniaga warung atau peruncit kecil kini tidak perlu merekod dengan mencatat setiap transaksi ke dalam buku nota.

Malah, data yang dikumpul dalam aplikasi itu juga memberi maklumat kepada peniaga-peniaga kecil untuk menilai potensi perniagaan masing-masing dengan mengenal pasti pelanggan utama mereka sekali gus dapat menawarkan baucar atau diskaun tersendiri kepada kelompok terbabit.

“Sebanyak 90 peratus daripada permohonan pembiayaan atau pinjaman perniagaan dalam negara gagal disebabkan tiada rekod perniagaan yang lengkap.

Manfaat

“Aplikasi pembayaran iBOXCHAIN membolehkan peniaga membuat carian semula transaksi bagi membantu mereka menyediakan rekod lengkap untuk penilaian kredit oleh pihak bank atau agensi kerajaan yang bekerjasama membantu peniaga mendapat pembiayaan perniagaan,” ujarnya yang berhasrat memperkenalkan iBOXCHAIN ke negara jiran dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Pemasaran Mardhika Citra Prima, Irene Yulie berpendapat, pelancaran iBOXCHAIN di Malaysia itu turut memberi manfaat kepada peruncit warga Indonesia.

“Teknologi ini mampu menaik taraf pengusaha kecil-kecilan dengan 60 peratus daripada produk domestik Indonesia datangnya daripada pengusaha kategori ini.

“Bayangkan, di Jakarta sahaja terdapat lebih 50,000 warung kecil dan semestinya ia dapat memperluaskan lagi industri perniagaan tempatan,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif CC Financial Service Pte. Ltd., Belle Zhou juga melihat iBOXCHAIN mampu menjadikan pengurusan perniagaan lebih cekap.

“Aplikasi ini pastinya dapat meningkatkan produktiviti pengusaha kecil-kecilan di Singapura.

“Hal ini kerana platform ini memudahkan peniaga untuk mendapatkan rekod perniagaan dan melihat potensi perniagaan masing-masing,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini