Hari ini ‘hibah’ ialah satu terminologi yang banyak diperkatakan. Ia suasana berbeza pada 2004 ketika saya mula membawa konsep ini dalam masyarakat.
Bila saya bercerita tentang hibah ketika itu, ada yang tuduh saya bawa ajaran sesat kerana menurut golongan ini hibah tidak wujud di dalam Al-Quran! Tidak ada perkataan ‘hibah’ dalam Al-Quran. Harta pusaka hanya boleh difaraidkan sahaja, katanya.
Harta pusaka memang tidak boleh dihibah kerana ia hak waris-waris mengikut hukum faraid. Harta boleh dihibah iaitu ketika pemiliknya masih hidup lagi. Masyarakat ketika itu (dan sebahagian kecil ketika ini juga) masih keliru dengan perbezaan antara harta dan harta pusaka.
Harta adalah milik kita selagi kita masih hidup manakala harta pusaka pula ialah harta yang kita tinggalkan ketika meninggal dunia. Jadi, ada perbezaan di antara harta dan harta pusaka. Saya perlu mengulangi kefahaman ini di dalam penulisan saya kerana masyarakat masih keliru dan gagal memahami hakikat ini.
Akta
Alhamdulillah, perjuangan saya sejak 15 tahun lepas mendidik masyarakat tentang perancangan harta menggunakan instrumen hibah, wasiat, harta sepencarian dan amanah mulai menampakkan hasil hari ini. Ia juga hasil kerja kuat orang-orang lain dalam industri dan peranan yang dimainkan oleh media massa.
Hari ini, di mana-mana saya pergi ‘hibah’ adalah satu perkataan yang popular dan sangat menarik minat masyarakat.
Menyelusuri sejarah, sebagai orang lama dalam industri, saya dapat mengesan perubahan drastik terhadap penerimaan dan kesedaran hibah dalam masyarakat bermula sejak Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013 diperkenalkan. Jadual 10 di dalam akta ini memperincikan tentang hibah takaful dan syarat-syaratnya.
Statut ini membuatkan semua pihak mulai celik mata mengenai kepentingan, fungsi dan aplikasi hibah di Malaysia.
Namun, di dalam keghairahan memperkenalkan hibah kepada masyarakat, wujud pula kekeliruan.
Hujah
Kekeliruan paling popular yang ingin saya jelaskan ialah hujah bahawa hibah lebih baik daripada faraid kerana menurut pihak-pihak ini hibah memberi kuasa kepada kita untuk memberi harta kepada sesiapa sahaja yang kita inginkan.
Faraid pula terpaksa kita patuhi dan mungkin orang yang menerima bahagian itu tidak rapat atau tidak memberi manfaat kepada kita. Oleh itu, lebih baik membuat hibah daripada membiarkan harta pusaka diagih ikut hukum faraid.
Walaupun saya sendiri adalah antara orang yang paling agresif meneroka inovasi hibah dalam ruang lingkup syariah sejak belasan tahun lepas, saya mempertahankan bahawa hujah hibah lebih baik daripada faraid ini adalah salah dan sangat mengelirukan masyarakat.
Orang yang berhujah begini sebenarnya masih tidak memahami ilmu fiqh mawarith itu secara mendalam dan komprehensif. Ia memberi gambaran seolah-olah sesuatu ilmu yang Allah turunkan itu lebih baik daripada ilmu yang lain.
Mana mungkin Allah menurunkan ilmu yang sebegitu sifatnya. Setiap apa yang Allah turunkan kepada kita semuanya adalah yang terbaik mengikut keperluannya sendiri.
Hikmah
Hibah dan faraid itu kedua-duanya mempunyai fungsi dan hikmah yang berbeza di dalam Islam. Jangan dibanding dan dilagakan antara kedua-duanya. Faraid itu dari segi bahasanya adalah ‘ketetapan’ manakala dari segi syaraknya ialah kaedah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam.
Di dalam hukum faraid telah ditetapkan siapa yang berhak ke atas harta pusaka si mati dan bahagian yang berhak ke atasnya. Ia satu hukum bersifat qath’ie (tetap) dan tidak boleh disangkal oleh sesiapapun walaupun waris-waris boleh juga menolak bahagian yang sepatutnya diterima melalui prinsip takharruj.
Faraid wujud dengan hikmahnya tersendiri yang hanya diketahui Allah SWT yang Maha Bijaksana dan Maha Adil kenapa setiap waris menerima bahagian seperti ditetapkan. Sebagai muslim, kita mesti yakin dengan hukum ini.
Namun begitu, selagi pemilik harta itu masih hidup, Islam memberi kebebasan kepadanya untuk menghibah, menjual, menggadai atau membuat apa sahaja transaksi ke atas hartanya kerana dia mempunyai kuasa ke atasnya.
Prinsip
Ini prinsip penguasaan mal (harta) yang perlu difahami. Tiada sesiapa pun boleh menyekat pemilik harta daripada membuat apa sahaja transaksi yang dikehendakinya selagi dia masih hidup dan harta-harta ini sah miliknya.
Tetapi sebaik sahaja pemilik harta itu meninggal dunia, maka secara automatik semua hartanya menjadi milik waris mengikut hukum faraid.
Para pembaca sekelian, Islam itu syumul dan adil. Usahlah disempitkan pemahaman kita mengenai kedua-duanya. Sekiranya kita masih kekurangan ilmu, kita boleh belajar dengan menghadiri pelbagai seminar atau program berkaitan dengan isu ini yang banyak dianjurkan pelbagai pihak.
Lihatlah ilmu fiqh mawarith ini dalam konteks yang lebih luas dan inklusif.











