TAHNIAH buat pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah selepas berjaya mengutip mata pertama pada perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis di Litar Le Mans Ahad lalu.
Selepas lima pusingan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) berlangsung, Hafizh yang menamatkan saingan di kedudukan ke-14 di Litar Le Mans akhirnya memperoleh dua mata bagi musim ini.
Tidak dinafikan, Hafizh yang mewakili pasukan Red Bull KTM Tech3 terpaksa bergelut dengan prestasi pada awal saingan musim ini apabila bertukar jentera daripada menunggang Yamaha M1 kepada KTM RC16.
Sudah tentu Hafizh bergelut untuk mendapatkan keserasian tunggangan jentera baharu itu selain perlu bekerja keras bersama jurutera untuk mendapatkan pelarasan sempurna bagi setiap kali perlumbaan.
Penulis percaya Hafizh, 25, akan mampu mendapatkan rentak tunggangan terbaik untuk terus memburu mata pada saingan musim ini sekali gus menafikan segala kritikan ke atas pelumba sulung MotoGP negara tersebut yang gagal menyerlah pada awal musim ini.
Sebenarnya, kehadiran Hafizh pada saingan MotoGP bukan sekadar untuk meraih keputusan positif semata-mata, namun mencetus signifikan terhadap sukan permotoran negara di peringkat domestik.
Sejak diangkat bersaing pada MotoGP musim lalu, Hafizh bukan sahaja membanggakan negara di pentas dunia bahkan menjadi penyemarak semangat kepada anak-anak muda seawal peringkat remaja untuk mengikuti jejak langkah anak kelahiran Ampang, Selangor tersebut.
Malah, kejayaan Hafizh menjadi pelumba MotoGP pertama dari Asia Tenggara turut dicemburui oleh peminat-peminat sukan permotoran dari negara jiran, Indonesia bahkan perkembangannya sentiasa mendapat liputan meluas oleh media negara republik berkenaan.
Begitu juga di peringkat domestik, kejayaan Hafizh dilihat berjaya mencipta gelombang dalam kalangan anak-anak muda untuk menceburi sukan permotoran terutamanya bagi penyertaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
Kejayaan membanggakan Hafizh di pentas antarabangsa secara tidak langsung turut membuka mata serta minda ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka menyertai perlumbaan pada peringkat usia muda seawal 13 tahun meskipun sukan permotoran dilihat berisiko dari segi keselamatan.
Disebabkan itu, tidak hairan pada masa kini ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak masing-masing untuk menyertai pemilihan pelumba pelapis bagi saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia sekali gus menceburi bidang perlumbaan secara profesional.
Penulis baru-baru ini dimaklumkan oleh Pengarah Safe Aim Mutual Sdn. Bhd., Ron Hogg bahawa lebih 1,000 permohonan diterima bagi pemilihan pelumba Kategori Satu Pengeluar (OMR) sedangkan slot yang diperuntukkan hanya 60 pelumba.
Ia jelas menunjukkan bahawa penerimaan terhadap sukan permotoran di negara ini semakin tinggi dan ia dilihat bukan sekadar sukan atau hobi semata-mata, sebaliknya mampu menjadi karier generasi baharu pada masa depan.
Penulis sendiri berasa kagum melihat pelumba-pelumba cilik pada saingan Cub Prix di Litar Tangkak, Johor awal bulan ini apabila menunjukkan semangat dan disiplin tinggi ketika bersaing secara kompetitif meskipun fizikal masih kecil berbanding motosikal yang dipacu, namun lagak mereka sudah profesional.
Bagaimanapun, ada kekangan untuk pelumba-pelumba muda ini meningkat maju kerana Malaysia masih kekurangan litar perlumbaan. Justeru, tiba masanya kerajaan tampil memainkan peranan untuk menyediakan fasiliti dengan membina sekurang-kurangnya satu litar dalam tempoh setiap dua tahun akan datang.











