KUALA LUMPUR 16 Mei- Polis mempertingkatkan kawalan di pintu sempadan bagi mengelak kemasukan mercun dan bunga api secara haram menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan melipatgandakan tugas pemantauan serta risikan supaya aktiviti penyeludupan dapat dibanteras dengan lebih berkesan.
Katanya, penyeludup akan mengambil peluang membawa mercun dan bunga api terutama pada bulan Ramadan berikutan permintaan yang tinggi.
“Sekarang kita beri tumpuan untuk kekang penyeludupan mercun dan bunga api kerana barangan ini popular pada Hari Raya Aidilfitri… jadi permintaannya tinggi.
“Polis tidak mahu barang terlarang termasuk mercun masuk ke dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Jabatan KDNKA di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Acryl Sani, pihaknya mengesan terdapat kumpulan kecil yang membawa masuk mercun ke dalam negara untuk dijual.
Jelasnya, kumpuan tersebut mungkin individu yang membuat kerja sampingan dengan menjual mercun pada bulan Ramadan.
“Sekarang fokus kita adalah untuk mencari sindiket penyeludupan yang berskala besar,” katanya.-UTUSAN ONLINE











