KOTA TINGGI 28 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan sebuah kapal tangki kerana disyaki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur dekat sini.
Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki tersebut ditahan di kedudukan 3.5 batu nautika timur Tanjung Penyusup pada pukul 2 petang, semalam.
“Ketika ditahan, kapal yang berdaftar di Cook Islands itu dikendalikan 12 kru berusia antara 20 hingga 58 tahun termasuk seorang Nakhoda kapal.
“Empat kru merupakan warganegara Indonesia manakala selebihnya warganegara Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut. – UTUSAN ONLINE











