Juara Piala Malaysia dapat tapak rumah RPT - Utusan Malaysia

Juara Piala Malaysia dapat tapak rumah RPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 29 Mei – Kerajaan negeri hari ini menunaikan janji apabila menyerahkan surat tawaran bagi tapak kediaman kepada para pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak yang telah memenangi Piala Malaysia pada musim 2018.

Penyerahan surat tawaran itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) bersama Anak-Anak Yatim Nurul Iman di Laman Darul Ridzuan di sini.

Pengurus Pafa, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, pihaknya berterima kasih kepada Ahmad Faizal selaku Presiden Pafa kerana begitu prihatin dengan memberikan hadiah cukup istimewa pada bulan Ramadan ini bersempena kemenangan Perak selepas penantian selama 18 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan pemberian ini, ia menyuntik semangat para pemain untuk merebut kejuaraan pada masa akan datang,” katanya.

Kelulusan lot tapak kediaman berkenaan di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Piala Malaysia 2018 dalam Mukim Hulu Kinta itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri ekoran kejayaan Perak merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada 27 Oktober 2018.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut, Ahmad Faizal mahu karier pemain muda bola sepak pasukan Perak tidak hanya tamat setakat mewakili negeri mahupun Malaysia.

“Hari ini kita sibuk cakap pasal pemain import tetapi saya impikan pemain kita dapat bermain di luar negara. Orang kata saya berangan-angan tetapi saya amat yakin kita dapat melakukannya.

“Jika kita bermain dengan bersungguh-sungguh, saya rasa pemain kita dapat mewakili pasukan yang lebih baik. Jangan pandang belakang, sebaliknya terus perbaiki diri untuk berjaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini