KUALA LUMPUR 25 Mei – Pasukan-pasukan Piala FAM mungkin perlu dinilai sejauh mana kemampuan kewangan mereka terlebih dulu sekalipun telah melepasi playoff dengan pasukan corot Liga Perdana untuk dinaikkan ke divisyen itu musim berikutnya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd. Firdaus Mohamed berkata, mereka juga tidak layak mendapat dana bantuan dalam membiayai penyertaan Piala FAM yang format musim ini ditukar ke kalah singkir.
“Segala dana penyertaan dalam saingan divisyen tiga itu terletak di bawah tanggungjawab pasukan itu sendiri, sesuai dengan taraf amatur mereka. Mungkin Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kena tengok kemampuan kewangan mereka walaupun menang playoff Liga Perdana.
“Kami pun tidak mahu jadi macam musim lalu apabila ada pasukan yang tawar gaji mahal kepada pemain, tetapi tidak dapat bayar atau lewat jelaskan sehingga terpaksa tarik diri sedangkan saingan liga sudah pun berjalan.
“Pasukan ini perlu dapat kebenaran persatuan bola sepak negeri (FA) untuk main Piala FAM atau Liga Perdana. FA kadangkala keberatan berikannya kerana jika timbul masalah gaji, mereka pula akan turut dipersoalkan,” katanya.
Firdaus yang juga Presiden kelab Liga Perdana, Selangor United dan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) berkata demikian pada sidang akhbar sebelum majlis berbuka puasa di sebuah hotel di sini, semalam.
Beliau turut yakin Selangor United kini di laluan tepat untuk mencapai sasaran antara lima teratas Liga Perdana sekali gus layak ke Piala Malaysia musim ini ekoran kemenangan 2-1 terhadap pendahulu liga, UiTM di Shah Alam, semalam.
“Dalam kedudukan mata, kami masih tidak jauh antara kelima atau keenam untuk layak. JDT II dan TFC II pun tidak layak bermain Piala Malaysia (sekalipun berada lebih atas). Ini pun musim pertama kami dalam Liga Perdana, kami cuba untuk tidak terlalu teruja,” katanya.
Selangor United memperoleh khidmat dua pemain import baharu, Danko Kovacevic dari Montenegro yang turut menjaringkan gol semalam dan Hwang Sin Young (Korea Selatan) yang bermain di posisi tengah menyerang. – UTUSAN ONLINE











