Jual nasi ayam RM2.90 sebungkus untuk infaq di Kuala Kedah - Utusan Malaysia

Jual nasi ayam RM2.90 sebungkus untuk infaq di Kuala Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 22 Mei – Amalan memberi makan kepada orang berbuka puasa menerusi satu artikel yang dibaca membuatkan seorang peniaga nasi ayam hainan di Jalan Kuala Kedah, dekat sini terdetik hatinya untuk merebut pahala dengan menjual makanan itu pada harga murah iaitu hanya RM2.90 sebungkus sempena Ramadan ini.

Lebih menarik, Ahmad Safuan Ahmad Sabri, 29, tidak mahu bersendirian mencari keberkatan bersedekah sepanjang Ramadan ini tetapi sebaliknya mengajak orang lain yang mahu bersama-samanya menginfaq kepada golongan memerlukan dengan cara membeli jualannya itu.

Menurut Ahmad Safuan, ini bermakna sesiapa sahaja boleh membeli nasi ayamnya itu pada harga RM2.90 sebungkus dengan minimum 30 bungkus jika berniat hendak menginfaq kepada mana-mana pihak yang memerlukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah katanya, dia turut menawarkan khidmat penghantaran makanan tersebut secara percuma kepada mana-mana tempat yang diminta pelanggannya di sekitar pusat bandar ini.

“Saya mula mempromosi niat ini di media sosial selepas berbincang dengan isteri, Siti Nuraisya Masuri, 29, baru-baru ini.

“Tidak sangka pula ramai rupa-rupanya yang memasang niat seperti saya kerana jualan kami mendapat sambutan menggalakkan sejak hari ketiga berpuasa,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya, di sini.

Tambah Ahmad Safuan, kebiasaannya mereka diminta oleh pelanggan untuk menghantar nasi ayam yang ditempah itu ke rumah anak-anak yatim, pusat tahfiz dan masjid.

“Bagi pelanggan yang tidak tahu untuk infaq makanan itu ke mana, saya akan membantu memberikan cadangan kepada mereka dengan kerjasama kenalan yang merupakan guru agama,” ujarnya.

Tambah Ahmad Safuan, meskipun harga dipotong sehingga RM2.90, dia masih mengekalkan saiz ayam yang sama banyak dengan harga biasa RM4 sebungkus, termasuklah kuantiti nasi kerana berpegang prinsip memberikan yang terbaik semasa bersedekah.

Pertama kali melaksanakan amalan itu pada Ramadan tahun ini, Ahmad Safuan yang sudah sembilan tahun berniaga makanan tersebut bersyukur apabila urusannya dipermudahkan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Sementara itu, dia mengakui kadar keuntungan yang diperolehi bagi tujuan infaq sedikit namun apabila tempahan diterima sekali ganda lebih banyak, dia masih mampu mendapat keuntungan yang sama seperti hari biasa.

“Selalunya, saya menjual kira-kira 250 bungkus nasi ayam sehari dengan bilangan ayam kira-kira 20 ekor tetapi menerusi projek infaq ini saya memerlukan antara 40 hingga 50 ekor ayam untuk menyediakan tempahan sebanyak 500 ke 600 bungkus sehari,” katanya.

Tambah Ahmad Safuan, dia mengekalkan harga RM4 kepada pelanggan yang membeli nasi ayam tersebut untuk mereka yang mahu menikmati sendiri juadah itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini