KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang akan menempatkan anggotanya di 18 lokasi daripada 36 kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini.
Pengarah JPJ Pahang, Mohammad Abdullah berkata, pihaknya akan melakukan rondaan lebih kerap bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan, selain memberikan tumpuan kepada kenderaan berat yang dilarang untuk menggunakan jalan raya pada tempoh larangan.
Mohammad berkata, seramai 326 kakitangan JPJ negeri dengan 74 buah kenderaan akan ditempatkan di 18 lokasi itu yang antaranya melibatkan laluan utama ke Kelantan seperti Bentong-Raub dan Benta-Merapoh di Lipis.
Selain itu, ia juga turut melibatkan laluan dari Selatan untuk ke Pantai Timur seperti Nenasi-Tanjung Gemok dan Muadzam-Segamat di Rompin dan Pekan-Leban Chondong.
“Ketetapan ini dibuat kerana kita menyasarkan penurunan kepada statistik kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan yang dicatatkan pada tahun lepas,” katanya selepas melancarkan Operasi Penguatkuasaan Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Gambang di sini, hari ini. – Bernama











