TAWAU 18 Mei – Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) hari ini menumpaskan kegiatan penyeludupan 220 ekor buaya dengan penahanan empat lelaki di kawasan hutan bakau, Kampung Pasir Putih dekat sini, pagi tadi.
Pegawai JHL Tawau, Sailun Aris berkata, empat lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 55 hingga 61 tahun itu ditahan pada pukul 10.30 pagi bersama 215 buaya hidup serta lima buaya mati, yang disyaki diseludup menggunakan bot dari Indonesia.
“Siasatan lanjut masih perlu dijalankan dan kemungkinan ada sindiket,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sailun berkata, kejayaan menumpaskan penyeludupan itu susulan risikan dijalankan pihak Esscom di sekitar kawasan tersebut. – BERNAMA










