Jason Mraz pukau peminat dengan bahasa muzik - Utusan Malaysia

Jason Mraz pukau peminat dengan bahasa muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMBALI ke Malaysia bagi menjayakan konsert Good Vibes Tour in Kuala Lumpur, penyanyi yang cukup dikenali dengan diskografi seperti I’m Yours, Lucky dan I Won’t Give Up, Jason Mraz menyifatkan peluang yang diperoleh tersebut sebagai satu hal sangat istimewa.

Kata pemilik nama lengkap, Jason Thomas Mraz itu ketika ditemui Kosmo! di belakang pentas Axiata Arena, Bukit Jalil beberapa jam sebelum konsert berlangsung, dia berasa sangat teruja dan berbesar hati.

“Kali terakhir saya buat persembahan di sini (Malaysia) tujuh tahun lalu. Apabila anda meninggalkan rumah, ada perasaan yang sangat besar hati. Inilah ganjaran yang dirasai seseorang penyanyi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berpeluang menjelajah dunia merupakan satu kemewahan dan keistimewaan. Bukan semua orang berpeluang untuk meninggalkan kampung halaman mereka.

“Bagi saya, akan ada perasaan apabila kita meninggalkan sesuatu tempat, kita mungkin tidak akan kembali disebabkan ketidaktentuan kerjaya, kesihatan dan sebagainya. Apa pun, saya gembira dapat kembali ke negara ini,” kata pemegang dua trofi Grammy Awards itu.

Muncul dengan album terbaharu berjudul Know, lagu-lagu yang dimuatkan Jason dalam album tersebut merupakan koleksi surat cinta buat isterinya, Christina Caro.

“Kebiasaannya, jika ingin membikin album, saya akan tulis sekurang-kurangnya 100 buah lagu. Album ini agak berbeza dan rumit, saya menulis antara 120 hingga 130 lagu.

“Hal ini kerana, semua orang kita semua termasuk saya mengalami perubahan yang sangat besar dalam dunia ini terutama di negara kelahiran saya sejak tiga tahun lepas,” ungkap Jason, 41.

Tambahnya lagi, disebabkan perubahan yang berlaku, penyanyi sepertinya turut berdepan kepayahan untuk melahirkan material muzik.

“Saya terpaksa menulis banyak lagu yang berbeza tentang banyak emosi yang berlainan.

“Apa yang saya rasakan paling tidak lapuk dek zaman dan klasik adalah rasa cinta yang dikongsi bersama isteri,” katanya.

Pegangan muzik

Diajak berbicara tentang inspirasinya menulis dan menggubah lagu yang kebanyakannya bernuansakan nilai positif serta kasih sayang, Jason mendahulukan jawapan untuk pertanyaan tersebut dengan mengatakan, menjadi seorang manusia adalah suatu keajaiban.

“Banyak persoalan yang berlegar dalam fikiran seperti, bagaimana kita berada di sini dan apa tujuan hidup kita.

“Saya selalu dalam pencarian untuk memberikan jawapan terhadap persoalan sebegitu. Hubungan saya dengan gitar, suara dan nyanyian, bagi saya, itu adalah tindakan kreatif serta kasih sayang yang sentiasa aktif.

“Perkara itu memberikan saya tujuan dan kedamaian dalam kehidupan,” jawab Jason merendah diri.

Berbicara lanjut, katanya, setiap kali bermain alat muzik, perkara utama yang dirasakan adalah kasih sayang muzik sebagai bahasa yang boleh difahami semua manusia di seluruh dunia.

“Saya akan selalu menyanyikan lagu yang membawa kedamaian kerana itu peranan muzik dalam diri saya.

“Muzik adalah suatu alat yang difahami semua manusia. Sebagai penyanyi, saya akan selalu menyanyikan lagu-lagu yang berkisarkan kasih sayang, penerimaan, harapan, optimisme dan kemaafan,” jelas Jason.

Disuakan pertanyaan, pernahkah dirinya terfikir untuk menukar haluan muzik selepas kira-kira 17 tahun bergelumang dalam industri, jawab pemilik ladang Avocado, Mraz Family Farms itu: “Semestinya, bahkan perkara itu sedang dalam proses. Sebenarnya, saya menulis pelbagai jenis lagu. Sebanyak 10 peratus lagu yang telah ditulis belum berkesempatan dimuatkan dalam album. Tunggulah, bila dan bagaimana.

“Tetapi kalau orang minta saya tukar haluan menjadi penyanyi rap, itu tidak mungkin berlaku. Saya ingin buat muzik tersendiri, bukan terikut-ikut gaya orang lain.

“Seperkara lagi, kalau lagu saya dijadikan lagu tema perkahwinan pasangan lain, itu sudah cukup bagus buat.”

10,000 ribu penonton

Pada malam konsert yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Jason berjaya memukau kira-kira 10,000 penonton dalam persembahan yang memakan masa selama dua jam.

“Sangat seronok dapat kembali ke Malaysia. Saya kembali menyaksikan dan menikmati pengalaman kehebatan peminat Malaysia yang sudi datang ke persembahan saya.

“Saya dapat rasakan ucapan terima kasih dan keterujaan mereka tidak seperti di mana-mana tempat dalam dunia. Penyertaan audiens terutama di Malaysia sangat harmoni dan supersonik,” katanya.

Jason mencuri tumpuan apabila bukan sahaja menyerlahkan kemerduan vokal, dia turut menghiburkan penonton dengan koreografi bersahaja dan interaksi dengan pemuzik atas pentas yang sangat mengujakan.

Ketika mendendangkan lagu More Than Friends, Jason melakukan persembahan bersama patung boneka sebagai pengganti kepada rakan duetnya Meghan Trainer yang berkolaborasi dengannya dalam versi studio rakaman.

Paling mengujakan adalah ketika Jason melaungkan tiga lagu popularnya iaitu I’m Yours, Lucky dan I Won’t Give. Gemanya dirasai seluruh ruang Axiata Arena yang dibanjiri 10,000 penonton.

Jason juga terus melebarkan kredibilitinya sebagai penghibur apabila menyanyikan You And I Both, Let’s See What The Night Can Do, Living In The Moment, Geek In The Pink, A Beautiful Mess dan beberapa judul lain termasuk single terbaharunya, Have It All.

Sepanjang fokus terhadap persembahan diiringi pemuzik yang dipelopori kaum wanita, Jason membuktikan dia bukan sahaja memiliki vokal mengasyikkan dan pandai bermain muzik, bahkan hebat berinteraksi dengan penonton apabila berkali-kali mengucapkan beberapa perkataan dalam bahasa Melayu seperti ‘terima kasih’, ‘apa khabar?’ dan banyak lagi frasa lain.

Jason Mraz Good Vibes Tour in Kuala Lumpur merupakan kunjungan ketiga penyanyi itu selepas kali pertama pada tahun 2009 diikuti konsert Tour Is A Four Letter Word (2012).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini