Jangan beri tekanan kepada Zii Jia - Utusan Malaysia

Jangan beri tekanan kepada Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Mei – Peminat sukan badminton tanah air disaran untuk tidak terlalu meletakkan tekanan kepada perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dengan melabelkan pemain muda itu sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei kerana ia akan memberi kesan kurang baik kepada perkembangan prestasi semasanya.

Ketika ini, Zii Jia memikul tanggungjawab besar selaku perseorangan utama negara, tetapi, perjalanannya untuk berada pada tahap terbaik masih jauh dan dia memerlukan masa untuk berbuat demikian.

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berkata, tekanan yang dihadapi pemain berusia 21 tahun itu agak tinggi kerana dia sedang mengetuai cabaran negara tanpa kehadiran Chong Wei yang masih dalam proses pemulihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ketika ini dia masih dalam fasa mengembangkan prestasinya, selain, sedang berusaha mencari rentak permainan konsisten.

“Zii Jia masih ada masa untuk terus maju tetapi barisan jurulatih Malaysia serta pengurusan BAM perlu memberikan kepercayaan kepadanya kerana dia masih muda.

“Chong Wei mula menyertai Piala Sudirman pada usia 23 tahun dan Zii Jia ketika ini masih muda dan dia masih ada masa,” katanya ketika me­ngulas perlawanan suku akhir Piala Sudirman di antara Zii Jia menentang Kento Momota.

Dalam aksi semalam, skuad kebangsaan tewas 0-3 kepada Jepun selepas Zii Jia, Soniia Cheah (perseorangan wanita) dan beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tewas dalam perlawanan masing-masing.

Bagaimanapun, pencapaian suku akhir dalam edisi kali ini membuktikan skuad muda negara memiliki masa depan yang cerah bagi menggalas cabaran negara pada masa akan datang termasuk melayakkan diri ke saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini