PUTRAJAYA 10 Mei – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpuas hati dengan proses perbincangan berhubung penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) hari ini.
Dalam perbincangan yang berjalan lebih sejam itu, jelas beliau, pegawai-pegawainya telah diberi peluang seluas-luasnya untuk memberi pandangan atau menzahirkan rasa tidak puas hati dan pihaknya telah mendapat jawapan jelas serta amat memuaskan hati dari Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC).
“Perkara-perkara yang menjadi kebimbangan di pihak PDRM telah pun diyakinkan oleh GIACC bahawa kekuatiran tersebut jauh meleset. Sebenarnya IPCMC memberi banyak ruang dan peluang kepada PDRM. Ia tidak sekali-kali menghakis atau menghilangkan kuasa yang ada pada PDRM.
“Saya amat bangga dengan kendalian yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai saya yang bangun berhujah dengan penuh tertib dan tidak ada suara-suara melenting apabila mengetengahkan hujah-hujah mereka. Saya amat bersyukur,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, penubuhan IPCMC diteruskan selepas tiada halangan daripada pihak PDRM hari ini.
Beliau berkata, ke arah itu kertas Kabinet tentang penubuhan IPCMC dijangka akan dibentang selepas Hari Raya Aidilfitri.
Pada 2 Mei lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan sebagai berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.
Mohamad Fuzi memberitahu, antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.
Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan semua isu mengenai tatatertib pegawai polis. – UTUSAN ONLINE











