Inkues Adib: Penarikan diri peguam bukti wujud konspirasi? - Utusan Malaysia

Inkues Adib: Penarikan diri peguam bukti wujud konspirasi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Penarikan diri peguam Syazlin Mansur yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Muhammad Adib Mohd. Kassim mencetuskan persoalan sama ada wujud konspirasi dalaman bagi menyembunyikan faktor sebenar kematian anggota bomba berkenaan.

Ibrahim Ali
Ibrahim Ali 

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali malah mempersoalkan tindakan pihak polis dan Peguam Negara, Tommy Thomas yang masih berdiam diri berhubung laporan polis bahawa ada beberapa pihak diugut untuk mengubah keterangan dalam prosiding inkues Muhammad Adib walaupun kes tersebut disifatkan berprofail tinggi.

Berikut merupakan kenyataan penuh Ibrahim yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa):

Memuatkan artikel berkaitan…

Selaku Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) saya turut terkejut dengan berita penarikan diri Peguam Syazlin Mansur yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Lebih membimbangkan apabila penarikan diri Peguam tersebut turut dikatakan akan turut membatalkan tindakan memanggil semula saksi ke 29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid.

Putra melihat wujud kebarangkalian unsur konspirasi dalaman untuk menyembunyikan keterangan-keterangan pakar terutama dalam keadaan Dr. Shahrom telah dalam keterangan awalnya membantah teori dua ahli pakar lain bahawa Muhammad Adib mati akibat kecederaan terjatuh dari kenderaan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Pada pertengahan April lalu juga, kita dikejutkan dengan berita dua saksi doktor pakar forensik yang telah memberi keterangan dalam prosiding inkues Muhammad Adib telah membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya melaporkan bahawa mereka diugut oleh pihak-pihak tertentu untuk mengubah keterangan dalam prosiding inkues berkenaan.

Namun sehingga kini, pihak polis dan Peguam Negara masih berdiam diri berkaitan laporan polis berkenaan yang jelas berunsur jenayah dalam keadaan kematian dan prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib mendapat tumpuan utama masyarakat dan berprofail tinggi.

Jadi, apabila hari ini diberitakan Peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menarik diri dan dengan penarikan diri itu boleh membatalkan keterangan saksi pakar yang telah membantah pendapat dua pakar forensik lain yang akhirnya dua pakar forensik itu membuat laporan polis diugut pula adalah mencetuskan persoalan besar kepada Putra, apa yang cuba disembunyikan dengan kematian Muhammad Adib ini?

Putra dengan ini menawarkan diri untuk bertemu dan berbincang dengan keluarga Allahyarham Muhammad Adib termasuk menawarkan khidmat nasihat guaman percuma bagi menjawab segala kemelut dan konspirasi yang sedang berlaku.

Dengan mandat dari keluarga itu nanti, Putra akan memastikan semua misteri yang menyelubungi kematian Allahyarham Muhammad Adib ini dapat membongkarkan tangan-tangan ghaib yang melindungi penjenayah sebenar. Tanpa mandat keluarga Allahyarham Muhammad Adib sukar untuk Putra mengambil tindakan melalui guaman kerana tiada ‘local standi’.

Pihak keluarga Allahyarham Muhammad Adib boleh menghubungi pihak kami segera bagi memberi mandat jika bersetuju.

Allahyarham Muhammad Adib adalah mangsa keadaan dan kematiannya wajar dibela sebaiknya mengikut undang-undang. – UTUSAN ONLINE

*Kenyataan di atas tidak mencerminkan pendirian atau pandangan Utusan, ia merupakan pandangan peribadi penulis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini