Indonesia gagalkan serangan bom Pemilu - Utusan Malaysia

Indonesia gagalkan serangan bom Pemilu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 7 Mei – Polis antikeganasan Indonesia, Densus 88 menahan lapan anggota pengganas kumpulan Jaringan Ansharut Daulah (JAD) Lampung yang dipercayai merancang siri pe­ngeboman semasa keputusan pemilihan umum (Pemilu) 2019 diumumkan

Lapor Liputan6.com, penahanan itu dilakukan di beberapa kawasan di Bekasi, Jawa Barat dan Tegal, Jawa Tengah antara 2 dan 5 Mei lalu.

Kesemua suspek yang ditahan dikenali dengan nama singkatan iaitu RH, M, SL (34), AN (20), MC (28), MI, IF (19), dan T (25).

Memuatkan artikel berkaitan…

JAD kumpulan pengganas tempatan yang berjanji taat setia kepada Daesh dan dipersalahkan di atas pengeboman gereja tahun lalu.

Kumpulan itu bercadang meletupkan bom di pelbagai lokasi ketika negara itu menyiarkan keputusan pilihan raya pada 22 Mei.

Ketua Biro Penerangan Awam, Divisyen Perhubungan Awam Polis Indonesia, Brigadier Jeneral Dedi Prasetyo berkata, JAD bercadang mensasarkan balai polis dan mengambil peluang kekecohan yang berlaku sebelum atau selepas keputusan disahkan.

“Mereka ada dua matlamat, pertama mensasarkan pegawai polis dan kedua, mengeksploitasi momentum pilihan raya,” katanya.

Menurut Dedi, SL merupakan ketua kumpulan terbabit manakala IF adalah pakar bom.

Dalam perkembangan ber­kaitan, polis daerah (Polda) Jawa Timur melaksanakan sistem keselamatan yang ketat untuk memastikan proses ringkasan kiraan undi Pemilu yang berlangsung di Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) di Jawa Timur berjalan lancar.

Kompas melaporkan, Ketua Polis Daerah Jawa Timur, Luki Hermawan berkata, beberapa anggota penembak tepat ditempatkan di lokasi-lokasi sekitar Hotel Singgasana Jalan Gunungsari, Surabaya.

“Kami kerahkan penembak tepat di beberapa lokasi yang dirahsiakan,” katanya, semalam.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini