KUALA LUMPUR 25 Mei – Polis sedang mengesan ibu bapa kepada bayi lelaki yang dibuang di dalam tong sampah di hadapan kedai serbaneka di Jalan 4/6B, Pandan Indah dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintenden Mohd. Zaid Hassan berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Ujarnya,pihaknya telah merakam percakapan pengawal keselamatan yang menemukan bayi tersebut bagi membantu siasatan.
“Selain itu, semakan juga telah dibuat di hospital dan klinik berhampiran bagi mengesan mana-mana individu.
“Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk tampil membantu pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Zaid, bayi malang itu kini berada dalam keadaan baik di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) Hospital Ampang.
“Hasil pemeriksaan, bayi tersebut masih bertali pusat dan tiada kecederaan ditemukan,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi ini, seorang bayi lelaki ditemukan oleh seorang pengawal keselamatan di dalam tong sampah selepas terdengar salakan seekor anjing.
Bayi terbabit ditemukan dalam tong sampah berkenaan dengan dibalut tuala berwarna biru.
Berikutan itu, orang awam yang berada di lokasi kejadian memaklumkan kepada pihak polis berhubung kejadian itu.-UTUSAN ONLINE











