KOTA BHARU 6 Mei – Hotel Holiday Villa dan Suites mengagihkan lebih 500 bekas gulai kawah percuma kepada orang ramai serta pengguna jalan raya melalui program tanggung jawab sosial korporat (CSR) hotel tersebut di sini hari ini.
Agihan bermula pukul 3 hingga 4 petang di hadapan hotel itu bertujuan mewujudkan semangat muhibah dalam kalangan warga kerja hotel dan masyarakat setempat.
Pegawai Eksekutif Jualan dan Pemasaran hotel itu, Rohaina Husain berkata, program tersebut adalah tradisi yang diadakan setiap tahun bagi merebut fadilat Ramadan supaya bersedekah.
“Dalam masa yang sama, program ini dapat merapatkan ukhwah sesama umat selain tanda ingatan dan menghargai hubungan baik antara semua pihak terutama orang ramai.
“Gulai kawah tersebut dimasak oleh cheif berpengalaman iaitu Norhisyam Mustapha,” katanya.
Dalam pada itu katanya, sempena Ramadan ini pihaknya juga turut mempromosikan Iftar Klasik Moden yang menyediakan lebih 80 jenis hidangan istimewa bagi sesiapa ingin berbuka puasa.
Katanya, bagi pakej normal untuk dewasa dikenakan sebanyak RM59 dan RM30 untuk kanak-kanak.
“Jika orang ramai membeli pakej normal itu sebanyak 10 orang pihak hotel akan memberi satu percuma.
“Bagi pakej moreh pula di Topas Ballroom pihaknya meletakkan harga RM60 setiap seorang di mana mereka boleh berbuka, terawih dan moreh namun perlu membuat tempahan tidak kurang dari 30 orang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











