Hasil MSM terjejas - Utusan Malaysia

Hasil MSM terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Mei – Kenaikan dalam pengeluaran permit import (AP) kepada pihak industri dan peningkatan penyeludupan gula ke Malaysia secara tidak langsung menjejaskan pasaran gula di negara ini.

Ini memberi tekanan kepada hasil MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019 yang merosot 12 peratus kepada RM485.62 juta berbanding RM549.06 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam tempoh itu, MSM merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.38 juta berbanding keuntungan selepas cukai sebanyak RM20.94 juta pada suku pertama 2018. Kerugian bersih pula berjumlah RM7.06 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM15.81 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, permulaan 2019 adalah sukar berikutan cabaran yang dihadapi daripada pelbagai sudut termasuk pengeluar-pengeluar gula di seluruh dunia.

“Kami sentiasa memantau situasi dengan peka serta melaksanakan pelbagai mekanisma lindung nilai strategik bagi mengurangkan impak daripada ketidaktentuan harga dan mata wang memandangkan kos operasi MSM sangat bergantung kepada harga gula mentah dunia dan tukaran asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Prestasi MSM pada suku tersebut terkesan berikutan harga gula yang rendah, peningkatan 15 peratus pengeluaran AP dan penurunan mendadak dalam jumlah eksport.

Penurunan hasil juga adalah berpunca daripada pengurangan sebanyak 11 peratus dan 15 peratus dalam harga jualan purata (ASP) bagi sektor domestik dan industri MSM.

Pengurangan eksport sebanyak 81 peratus dalam tempoh tersebut turut menjejaskan hasil syarikat berikutan persaingan tinggi dalam pasaran eksport akibat daripada lambakan gula dunia.

Menurut Khairil Anuar, pasaran menjangkakan ringgit terus lemah berbanding dolar AS bagi beberapa bulan berikutnya tetapi situasi dijangka bertambah baik pada suku keempat 2019.

“Selain itu, pelaksanaan cukai eksais (cukai soda) seperti yang dirancang untuk minuman bergula sebanyak 40sen/liter bermula 1 Julai 2019 serta pengeluaran AP yang dijangka lebih banyak akan turut memberikan kesan negatif kepada pencapaian MSM,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini