KUALA LUMPUR 26 Mei – Persatuan-persatuan pengguna mula menerima aduan berlaku kenaikan harga barang-barang basah dan keperluan asas menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, kegiatan menyorokkan bekalan juga dipercayai berlaku untuk menaikkan harga barang yang dijual pada hari-hari terakhir sebelum sambutan Aidilfitri.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George, pihaknya mula menerima aduan dan maklumat berkaitan kegiatan sedemikian terutama di Lembah Klang dan bahagian utara tanah air.
“Kami mendapati berlaku kenaikan harga barangan keperluan asas dan menyorok bekalan di sekitar Lembah Klang menerusi aduan-aduan yang diterima, malah kegiatan sama juga dikesan berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“Untuk elak jadi lebih teruk, saya nasihatkan pengguna supaya jangan buat pembelian panik agar tidak berlaku kegiatan sorok bekalan dan meminta kerajaan wujudkan satu ‘task force’ melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kementerian berkaitan bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, tidak mustahil peniaga akan terus menaikkan harga barang jika tiada tindakan dan kawalan pihak berkuasa.
“Peniaga-peniaga dikesan mula mengambil kesempatan terhadap pengguna menjelang Hari Raya Aidilfitri, hal ini bukan sesuatu yang baharu malah merupakan ‘acara wajib’ setiap kali menjelang musim perayaan.
“Oleh demikian, kerajaan mesti membuat sesuatu selain memantau dan mengambil tindakan terhadap peniaga seperti memperkenal harga kawalan yang pernah dilakukan pada setiap kali musim perayaan sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











