Hanya cantik di atas kertas? - Utusan Malaysia

Hanya cantik di atas kertas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHAGIAN AKHIR
Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

  • Laporan Tahunan Kepada Perdana Menteri Untuk Dibentangkan Di Parlimen (Chapter 10, para 2.11.4 (iv), page 318)

Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyorkan perisikan PDRM mengemukakan segala kegiatannya dalam laporan tahunan kepada Perdana Menteri dan seterusnya mestilah membentangkannya di Parlimen. Pembentangan laporan seperti ini akan mendedahkan bahagian perisikan dan kerajaan kepada pelbagai tohmahan oleh parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersikap antikerajaan. Ia juga akan memberi ruang kepada mereka untuk mendesak pendedahan mengenai kegiatan-kegiatan dan operasi-operasi Cawangan Khas (SB) yang teramat sensitif.

Walaupun tidak terkandung dalam laporan tetapi ahli Parlimen boleh mempersoalkan rangkaian dan kerjasama dengan agensi-agensi perisikan di seluruh dunia dan ini akan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan agensi-agensi perisikan berkenaan untuk bekerjasama dengan pihak perisikan PDRM. Perkara ini adalah bercanggah dengan semangat dan bentuk kerjasama yang sedia terjalin di antara badan-badan perisikan di seluruh dunia. Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan sekarang, agensi perisikan tidak boleh bergerak bersendirian tanpa kerjasama dengan agensi-agensi perisikan yang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syor ini juga dicedok oleh Suruhanjaya daripada peruntukan yang terdapat dalam Seksyen 94 (1) Australian Security Intelligence Organisation (ASIO) Act 1979. Bagaimanapun Suruhanjaya didapati cuma mengambil Seksyen 94 (1) ASIO Act 1979 dan mengenepikan sama sekali Seksyen 94 (1A) yang menyenaraikan perkara-perkara spesifik berhubung keganasan sahaja perlu dilaporkan di Parlimen.

Dalam keadaan tertentu Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk mengarahkan sesuatu laporan dikemukakan ke Parlimen seperti pembentangan Kertas Putih. Oleh itu cadangan Suruhanjaya ini dilihat akan memberi kesan terhadap tumpuan tugas-tugas perisikan dan kurang bertepatan dengan sistem yang diamalkan di negara ini.

Bagaimanapun ASIO Act 1979 ini hanya terhad kepada kegiatan-kegiatan keganasan antarabangsa secara umum. Sebaliknya agensi-agensi perisikan lain di rantau ini seperti Departmen Keselamatan Khas dan Internal (ISD) di Singapura dan Thai Special Branch tidak mengemukakan laporan tahunan ke Parlimen.

  • Principles And Code Of Practice (Chapter 10, Appendix 10D, para (2) page 323, para (8) (i) page 328, para (9) page 329 and para (11) page 330)

Dalam bab ini, Suruhanjaya antara lain mengesyorkan perkara-perkara seperti proses soal siasat dilakukan di bawah litupan kamera litar tertutup (CCTV) dan orang tahanan berhak mendapatkan satu salinan rakaman percakapannya. Menyerahkan pita rakaman tersebut kepada orang tahanan boleh mendedahkan rahsia negara yang sensitif kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan. Tambahan pula tidak ada jaminan pita rakaman itu boleh disalahgunakan oleh orang tahanan untuk kepentingannya sendiri. Ia juga berpotensi menjejaskan imej dan mengancam keselamatan negara kerana kandungan percakapan mengandungi maklumat yang sensitif. Manakala pegawai penyiasat boleh menjadi sasaran pihak musuh kerana CCTV akan mendedahkan identiti mereka; dan agensi perisikan atau keselamatan negara-negara asing ada kalanya turut memohon untuk menjalankan temuduga ke atas orang tahanan (di bawah peruntukan Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002). Sekiranya temuduga direkodkan melalui CCTV, agensi-agensi perisikan atau keselamatan tersebut akan keberatan menyertai proses temuduga dan akibatnya kerjasama antara PDRM dengan badan-badan perisikan dan polis asing yang sekian lama wujud akan terjejas.

  • Bab 12 Cadangan 3 – Pengawaman PDRM

Cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya untuk mengawamkan atau menyalurkan keluar fungsi bukan utama polis seperti yang terkandung dalam bab 13 adalah kurang sesuai. Ini kerana tugas-tugas sedemikian memerlukan kemahiran dan perlu menjiwai prinsip-prinsip kepolisan. Penggunaan tenaga awam juga akan memberi kesan terhadap bidang penugasan kepolisan dan juga tambahan peruntukan kewangan kerajaan.

Setakat ini fungsi penugasan polis adalah sepanjang 24 jam. Melalui langkah-langkah pembahagian fungsi tugas utama dan bukan utama melibatkan penugasan kakitangan awam maka pihak kerajaan harus bersedia untuk membayar elaun tambah masa dan lain-lain keperluan yang selama ini dilaksanakan oleh anggota PDRM secara percuma berdasarkan keperluan penugasan 24 jam.

  • Bab 15 Cadangan 8 – Menambahbaik Lokap Polis dan Meningkatkan Kapasitinya

PDRM mungkin tidak menafikan kebanyakan kemudahan lokap dibina dan digunakan sejak bangunan balai polis dan ibu pejabat dibina. Namun tidak setuju sama sekali dengan anggapan Suruhanjaya bahawa keadaan lokap yang semakin uzur membuka peluang kepada tahanan melarikan diri dan menganggap kejadian mencemar imej dan kredibiliti PDRM. PDRM berpendapat selain terpencil, kebanyakan kes tahanan yang lari daripada lokap adalah semasa tahanan tersebut diiring ke bilik air atau semasa perjalanan ke lokap selepas soal siasat.

Ingin ditegaskan adalah tidak wajar PDRM dipersalahkan ekoran daripada situasi lokap sepertimana digambarkan oleh Suruhanjaya. Kita yakin PDRM sendiri tidak mahu situasi tersebut berterusan.

Adalah tidak adil PDRM dibebani dengan pelbagai tuduhan terhadap pengendalian lokap sedangkan penggunaannya tidak diberi keutamaan sejak sekian lama.

 

  • Nilai Masyarakat Malaysia

Adalah didapati dakwaan-dakwaan dan cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya terlalu terikat dengan ciri-ciri yang ditakrifkan pada aspek undang-undang. Pentaksiran terhadap keluhuran undang-undang yang menjadi ukuran terlalu diutamakan menyebabkan Suruhanjaya hilang norma-norma kajian yang perlu didasarkan kepada struktur sosialisasi masyarakat. Nilai-nilai yang menjadi pegangan masyarakat seperti gelagat manusia yang boleh berubah menjadi ganas, tidak mematuhi undang-undang, mudah terdorong, buruk sangka sewajarnya turut sama dimasukkan ke dalam perkiraan apabila dakwaan-dakwaan terhadap PDRM dikemukakan dalam laporan.

Pihak polis dalam melaksanakan penugasan berdepan dengan realiti kehidupan masyarakat. PDRM menyedari undang-undang sedia ada perlu ditegakkan. Dalam keadaan tertentu misalnya, pertimbangan naluri adalah lebih besar dan penting untuk menentukan sesuatu keadaan daripada melaksanakan apa-apa peruntukan yang tercatat dalam undang-undang.

Oleh yang demikian, terdapat dakwaan-dakwaan serta cadangan-cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya nampak realistik di atas kertas melalui penghujahan undang-undang tetapi ia menjadi tidak sesuai atau sukar untuk dipraktikkan pada masa pelaksanaan tugas.

Ditaksirkan PDRM sudah pasti menilai semua ini sejak sekian lama, di mana dalam pelaksanaan sesuatu keperluan khususnya berkaitan penguatkuasaan, penyesuaian terhadap struktur perkembangan sosialisasi dan perubahan yang wujud pada masyarakat perlu, agar ia sesuai serta dapat diterima rakyat. Dalam konteks ini, PDRM dilihat memang sentiasa menerima perkembangan struktur penduduk Malaysia yang semakin berkembang dengan kepesatan tuntutan masyarakat sivil. Beberapa perubahan dalam penugasan dibuat dari semasa ke semasa bagi menyesuaikan corak penugasan dengan pelaksanaan undang-undang yang telah ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini