PARIS – Juara bertahan, Simona Halep memulakan saingan Terbuka Perancis dengan langkah kanan selepas berjaya menewaskan wakil Australia, Ajla Tomljanovic dengan kemenangan 6-2, 3-6, 6-1 di Roland Garros kelmarin.
Katanya, kemenangan tersebut memberi motivasi tambahan buatnya walaupun gagal mempamerkan aksi konsisten khususnya apabila tewas set kedua sebelum berjaya bangkit bergaya pada set penentuan.
“Saya rasa permainan saya cukup baik pada pusingan pertama ini walaupun tewas pada set kedua. Saya memiliki keyakinan penuh dan percaya berada di landasan yang baik untuk melangkah jauh dalam kejohanan ini.
“Secara jujur, corak permainan saya telah meningkat naik sejak berjaya menjuarai Terbuka Perancis pada tahun lalu. Cuma, saya akui masih berdebar setiap kali turun ke gelanggang dan ia terbukti pada perlawanan ini,” kata Halep.
Pemain kelahiran Romania itu dijadualkan bertemu dengan Magda Linette pada pusingan kedua yang menewaskan wakil tuan rumah, Chloe Paquet 3-6, 6-1, 6-2 kelmarin.
“Saya akan memberi tumpuan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan tidak boleh terlalu yakin kerana pemain lawan boleh memberi kejutan. Apa yang pasti, saya perlu bekerja keras dan tidak mengambil sikap sambil lewa.
Halep yang berusia 28 tahun berjaya memenangi saingan Grand Slam Terbuka Perancis pada tahun lalu selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Sloane Stephens di pentas final. – Agensi











