LONDON – Perancang tengah Chelsea, Eden Hazard dilaporkan bimbang hasratnya untuk berhijrah menyertai Real Madrid pada musim hadapan musnah, jika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kekal mengenakan penggantungan terhadap pasukannya dalam pembelian pemain baharu selama dua tahun.
Hukuman itu bakal menyaksikan The Blues hanya boleh kembali aktif dalam jendela perpindahan selepas musim 2020.
Walaupun kelab dari London itu sedang mengemukakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara, Hazard bagaimanapun bimbang Chelsea akan mengubah polisi mereka dengan tidak menjual mana-mana pemain pada musim panas ini.
Situasi itu sekali gus menyebabkan bintang kelahiran Belgium berkenaan mungkin terpaksa kekal di Stamford Bridge selepas laporan mendakwa, Chelsea sanggup menyimpannya sehingga kontraknya tamat walaupun berisiko kehilangan pemain berusia 28 tahun itu secara percuma.
Hazard sering dikaitkan dengan real sejak beberapa bulan lalu dan turut meluahkan hasratnya untuk beraksi bersama kelab geragsi Eropah itu musim lepas.
Jurulatih Real, Zinedine Zidane pula mahu menjadikan Hazard sebagai tonggak utama dalam wajah baharu kelab berkenaan apabila melakukan rombakan besar-besaran pada musim panas nanti.
Bagaimanapun, hukuman penggantungan dua tahun dan kejayaan Chelsea mara ke Liga Juara-Juara musim depan mungkin menyukarkan lagi usaha Hazard meninggalkan Stamford Bridge pada musim depan. – Agensi











