Gunung Agung meletus, penerbangan dibatalkan - Utusan Malaysia

Gunung Agung meletus, penerbangan dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENPASAR 25 Mei – Gunung Berapi Agung di daerah Karangasem, Bali dilapor meletus sekali la­gi semalam dengan menghamburkan debu serta ‘me­­muntahkan’ lahar sejauh ti­ga kilometer.

Channel News Asia memetik Ketua Agensi Pengurusan bencana Wilayah Bali, I Made Rentin berkata, ketinggian debu yang dihamburkan oleh gunung berapi tersebut tidak dilaporkan, namun pihak berkuasa mengesan bunyi deruman di kawasan sekitarnya.

Letusan pada pukul 7.23 petang waktu tempatan direkodkan berlangsung selama empat minit dan 30 saat dan gunung itu diletakkan pada status tahap tiga iaitu berjaga-jaga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Letusan itu turut mengakibatkan beberapa kawasan di Karangasem termasuk di per­kam­pungan Pempatan, Besakih, Menanga, Sebudi, Muncan, Amerta Bhuana, Nongan, Rendang dan penempatan di daerah Bangli diliputi debu tebal dan pasir.

Beberapa penerbangan yang dijadualkan berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang An­ta­rabangsa Bali juga terpaksa di­batalkan demi faktor kese­la­matan, manakala ada juga pe­nerbangan yang dilencongkan.

Ketua Pengarah Pengangkutan Udara Indonesia, Polana Pramesti berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan Gunung Agung.

Dalam pada itu, I Made menasihatkan supaya penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Agung supaya berpindah dalam radius empat kilometer dari kawasan puncak.

Selain itu, keadaan di kawasan sekitar gunung berke­naan akan terus dipantau dari semasa ke semasa berdasarkan data yang dikumpul.

Penduduk tempatan juga dinasihatkan supaya memakai topeng muka setiap kali keluar dari rumah bagi melindungi pernafasan mereka daripada partikel halus yang terdapat dalam debu gunung berapi.

“Semua persiapan sudah disediakan pada peringkat ter­tinggi. Sekiranya berlaku le­tusan yang lebih besar, penduduk akan dipindahkan segera. Jangan panik, bertenang dan berdoa semuanya kembali pulih,” kata I Made. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini