PUTRAJAYA 5 Mei – Orang ramai dinasihatkan untuk hanya membeli dan menggunakan kelengkapan komunikasi yang mempunyai label pemerakuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ketua Bahagian Penguatkuasaan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, kelengkapan-kelengkapan tersebut merangkumi telefon tanpa wayar, antena televisyen UHF, dekoder TV Digital myFreeview dan kotak TV Android.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini terdapat kelengkapan-kelengkapan sedemikian yang tidak diperakui telah dijual di saluran-saluran runcit dan secara dalam talian.
“Peringatan itu bertujuan untuk melindungi keselamatan para pengguna dan mengelakkan gangguan terhadap perkhidmatan komunikasi.
“Bagi memastikan kelengkapan komunikasi yang digunakan adalah sah dan diperakui, para pengguna boleh memeriksa status kelengkapan komunikasi mereka menggunakan aplikasi mudah alih ‘Check Your Label ataupun melalui laman sesawang di pautan https://ecomm.sirim.my,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagi tempoh antara 2018 hingga April lalu, jelas Mohd. Shafie, sebanyak 23 pertuduhan telah difailkan di bawah Peraturan- Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 melibatkan kesalahan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui dengan jumlah denda keseluruhan bernilai RM165,000.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, SKMM dengan kerjasama pihak polis baru-baru ini telah menyerbu dua lokasi di Butterworth di Pulau Pinang dan Ampang, Selangor dalam usaha membendung penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
Kata beliau, serbuan tersebut dibuat selepas suruhanjaya itu menerima aduan dan maklumat orang ramai bahawa terdapat pihak atau individu tertentu yang menggunakan kelengkapan sedemikian.
Menurutnya, penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui oleh suspek-suspek telah menyebabkan gangguan frekuensi dan menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi di kawasan-kawasan terbabit.
Dalam serbuan tersebut, beberapa kelengkapan komunikasi seperti sebuah telefon tanpa wayar yang dibeli melalui platform dalam talian dan antena televisyen UHF telah disita bagi membantu siasatan.
“Pada masa yang sama juga, identiti suspek-suspek berkenaan telah pun dikenal pasti dan disahkan dan rakaman percakapan telah diambil,“ katanya.
Kedua-dua kes berkenaan jelas Mohd. Shafie, kini sedang disiasat di bawah Peraturan- Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Tambahnya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE











