LONDON 2 Mei- Jose Mourinho mendedahkan Manchester United tidak memberi sokongan seperti yang dinikmati dua pencabarnya, Pep Guardiola di Manchester City dan Jurgen Klopp (Liverpool).
Bercakap ketika bertugas sebagai pengulas sukan bersama beIN ketika membuat liputan perlawanan Barcelona menentang Liverpool, Mourinho meluahkan apa terbuku dihatinya.
Pengurus United itu dipecat sebelum ini selepas mengendali kelab itu selama dua setengah tahun, malah dia merasakan sokongan yang lebih baik sedang dinikmati Guardiola dan Klopp.
“Saya lebih gemar untuk menyertai kelab seperti mana yang sedang dinikmati Jurgen dan Pep. Jika anda melihat kepada kesebelasan Liverpool di Camp Nou, berapa ramaikah yang berada di Anfield ketika Jurgen tiba? Hanya dua orang.
“Apabila Pep tidak gembira dengan pertahanan sayapnya (2017), maka pada musim panas seterusnya dia mengikat empat pertahanan sayap yang diingininya.
“Jurgen tidak memenangi apa-apa piala dalam tempoh tiga setengah tahun ini tetapi dia masih memiliki kepercayaan, diberi keyakinan dan kesempatan untuk terus memberikan saingan. Mungkin musim ini mereka memiliki peluang besar untuk memenangi trofi buat kali pertama.
“Jika saya menggalas tugas pada masa akan datang, saya tidak akan lagi memulakan perbualan tanpa mengetahui secara tepat apakah yang dikehendaki kelab dan kelebihan kelab daripada segi penstrukturan dan objektif mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Gary Neville turut menegaskan bekas kelabnya itu tersilap langkah ketika melantik pengurus seperti Mourinho yang disifatkannya sebagai tidak sesuai dengan falsafah United.
Namun, Mourinho membangkitkan kisah kemenangan sensasi Inter Milan ke atas skuad Barcelona yang dikendalikan Guardiola pada 2010 sebagai membuktikan reputasinya bukanlah pengurus yang gemar menerapkan permainan terlalu bertahan.
“Anda berdusta dan anda menyatakannya seribu kali sehingga ia kedengaran betul padahal ia perkara tidak benar.
“Apabila orang mengingati perlawanan luar biasa separuh akhir UCL Inter di Barcelona dengan 10 pemain, ramai yang mengatakan itu adalah kelas bola sepak pertahanan dengan dua bas diletakkan di hadapan gawang.
“Kami mahu mempertahankan keputusan 3-1 di sana kerana kami beraksi dengan 10 pemain dan sedang menentang pasukan terbaik di dunia,” jelasnya. – AGENSI











