KUALA LUMPUR 23 Mei – Giant Malaysia hari ini memperkenalkan pasar rayanya yang berwajah baharu di Batu Caves selepas pengubahsuaian yang menyediakan susun atur sistematik dan menarik bagi memudahkan pergerakan pembeli di pasar raya itu.
Pengarah Urusan GCH Retail Malaysia Pierre-Olivier Deplanck berkata syarikat itu menyasarkan untuk mengubah suai 27 pasar raya Giant di seluruh negara sehingga hujung tahun ini, manakala yang selebihnya akan dinaik taraf selepas sambutan Tahun Baru Cina akan datang.
Giant Malaysia mengendalikan sebanyak 87 pasar raya di seluruh negara.
“Keputusan untuk mengubah suai pasar raya Giant adalah bukti komitmen Giant dalam menyediakan bukan sahaja produk berkualiti tetapi juga dari segi menambah baik keselesaan pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran semula Pasar Raya Giant Batu Caves, di sini, hari ini. -BERNAMA











