SHAH ALAM – Meluru masuk ke dalam premis sambil mengacu parang sebelum melarikan barang berharga.
Itu modus operandi kumpulan samun bersenjata dikenali “Geng KTM Duke” yang aktif melakukan jenayah samun berkumpulan sekitar Lembah Klang sejak awal Januari lalu.
Bagaimanapun, kumpulan yang dianggotai enam lelaki berusia 21 hingga 26 tahun itu tumpas selepas kesemua mereka ditahan dalam lima serbuan berasingan sekitar Lembah Klang, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kumpulan berkenaan terlibat dalam 27 kes samun bersenjata iaitu 18 kes di sekitar Selangor dan sembilan kes di Kuala Lumpur melibatkan kerugian lebih RM68,000.
Menurutnya, kumpulan berkenaan menyasarkan premis perniagaan 24 jam sebagai sasaran jenayah mereka antaranya kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit dan stesen minyak.
“Kumpulan ini bergerak pada awal pagi dan mereka sanggup mencederakan mangsa dengan parang. Dalam kes ini terdapat seorang mangsa telah dicederakan.
“Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek ini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kesemua mereka memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah, samun berkumpulan dan curi kenderaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Fadzil berkata, pihaknya turut merampas dua buah motosikal jenis KTM Duke yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah, tiga bilah parang panjang dan beberapa barang berharga seperti telefom bimbit, rokok serta wang tunai.
“Semakan lanjut mendapati, dua buah motosikal tersebut adalah motosikal yang dilaporkan hilang di Selayang dan Sri Muda.
“Keenam-enam suspek juga positif dadah dan kini direman selama tujuh hari
bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.
Tambah beliau, kumpulan tersebut juga akan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.
Dalam perkembangan Fadzil berkata, pihaknya juga sedang memburu tiga lagi kumpulan samun yang aktif sekitar Lembah Klang.
“Modus operandi ketiga-tiga kumpulan ini hampir sama cuma mereka menggunakan jenis kenderaan berlainan ada menaiki motosikal dan kereta. Namun kesemua mereka sedang dalam perhatian kita,” jelasnya. – K! ONLINE











