LIMA – Satu gempa bumi 8.0 pada skala Richter dilaporkan melanda utara Peru awal pagi tadi (Ahad), menyebabkan bekalan elektrik terputus kepada sekurang-kurangnya satu pekan dan memaksa penduduk bertempiaran lari meninggalkan kediaman mereka.
Kesan gempa itu dirasai sehingga ke wilayah negara jirannya, Ecuador. Gempa pada pukul 2.41 pagi (waktu tempatan) itu berlaku 75 kilometer dari pekan Lagunas di sepanjang hutan Amazon berdekatan sempadan Brazil.
Tiada laporan kecederaan dan kematian setakat ini tetapi Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa itu berpusat 110 kilometer di dalam kerak bumi.
“Kecederaan dan kerosakan harta benda mungkin berlaku tetapi impak gempa mungkin tertumpu di kawasan itu sahaja. Gempa berpusat begitu jauh dalam kerak bumi biasanya kurang menyebabkan kerosakan tetapi akan dirasai di kawasan lebih jauh,” jelas USGS dalam laporan awalnya.
Gegaran dapat dirasai di utara dan tengah Peru termasuk di ibu negara, Lima yang menyebabkan orang ramai keluar meninggalkan kediaman mereka.
Datuk Bandar Lagunas, Arri Pezo memaklumkan buat masa ini penduduk masih terlalu takut untuk kembali ke dalam kediaman masing-masing kerana bimbang gempa susulan. – AFP










