PASIR PUTEH 8 Mei – Seorang peniaga menanggung kerugian kira-kira RM20,000 apabila sebuah wakaf dan kedai miliknya di Kampung Bukit Yong di sini dipercayai dibakar oleh individu tertentu awal pagi ini.
Shamsurina Harun, 47, mendakwa, keluarganya terkejut apabila melihat wakaf di hadapan rumahnya dibakar oleh orang yang tidak dikenali kira-kira pukul 5 pagi.
Menurutnya, sebuah kereta Proton Iswara memecut laju apabila menyedari keluarganya keluar dari rumah untuk memadam kebakaran wakaf.
“Botol minyak petrol ditemukan di sekitar kawasan itu dan dua botol daripadanya sudah disimbah.
“Saya bergegas ke Balai Polis Bukit Yong untuk membuat laporan namun dikejutkan pula dengan kebakaran kedai makan saya di sempadan Bukit Yong, Jertih kira-kira 600 meter dari rumah saya pada pukul 5.15 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, hari ini.
Samsurina mendakwa kerugian hampir RM20, 000 kerana keseluruhan perabot dan peralatan hangus.
“Ada pihak yang sengaja membakar pondok sekitar rumah dan mengambil tindakan membakar kedai makan selepas cubaan pertama gagal,” dakwanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, panggilan kecemasan kebakaran sederet kedai makan di hentian rehat Bukit Yong, dekat sini, diterima pada pukul 5.15 pagi.
“Kerja memadam kebakaran dijalankan tujuh anggota bomba yang melibatkan 70 peratus kebakaran yang berlaku ketika itu.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











