KUALA LUMPUR 27 Mei – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan lebih RM188 juta jualan membabitkan Agro Bazar Rakyat (ABR) di seluruh negara bagi tahun ini.
Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Misdan Adam berkata, jumlah tersebut melibatkan hasil jualan bagi 132 ABR sedia ada termasuk di Sabah dan Sarawak.
Katanya, FAMA juga menyasarkan sebanyak 14 buah ABR akan dibuka masing-masing satu di setiap negeri.
“Sehingga hari ini, lapan buah ABR telahpun beroperasi melibatkan beberapa negeri terpilih termasuk dua di Sabah dan masing-masing satu di Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Sarawak.
“Hasil nilai jualan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini juga telah mencapai lebih RM65 juta dan pihak kami yakin sasaran jualan bagi tahun ini boleh dicapai berdasarkan rancangan dan program yang disusun oleh FAMA,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Melancarkan Jualan Jimat Belanja Pra Syawal ABR di sini hari ini.
Terdahulu beliau turut menjual ayam segar dengan harga RM5 seekor serta mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung serta orang ramai sempena program ini. – UTUSAN ONLINE










