FAMA nafi lambakan harumanis - Utusan Malaysia

FAMA nafi lambakan harumanis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 23 Mei – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan segelintir pengusaha bahawa terdapat lambakan buah mempelam harumanis sehingga mencecah 10 tan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam masa sama, Pengarah FAMA negeri, Mohamad Paisal Amri turut menafikan bahawa pihaknya tidak menerima harumanis daripada pengusaha sebaliknya jabatan tersebut telah menyediakan platform kepada pengusaha memasarkan hasil tanaman mereka itu.

Beliau berkata, permintaan terhadap harumanis terus meningkat setiap tahun sekali gus tidak timbul isu lambakan sebagaimana yang dibangkitkan segelintir pengusaha itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, daripada segi pemasaran pihaknya menyediakan tiga platform kepada para pengusaha iaitu mereka boleh menghantar hasil di pusat belian FAMA seluruh negara, jualan terus daripada ladang dan melalui dalam talian.

“Kalau pengusaha ini ada masalah daripada segi pasaran, mereka boleh berhubung dengan FAMA dan kita akan membantu. Tidak timbul soal kita tidak terima buah, para pengusaha yang hantar kita terima dan harganya bergantung kepada kualiti buah tersebut. Kalau rosak dan tidak berkualiti, bagaimana kita hendak pasarkan.

“Jadi tidak timbul soal lambakan tersebut dan setakat ini kita masih menerima buah yang dijual oleh para pengusaha,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, kira- kira 70 orang pengusaha harumanis di Felda Mata Ayer di sini resah kerana hasil tanaman mereka dikhuatiri bakal mengalami lambakan sehingga mencecah 10 tan, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Lambakan tersebut menyebabkan pengusaha tanaman kelompok di kawasan seluas 51.47 hektar itu, dijangka mengalami kerugian sehingga mencecah RM280,000 iaitu hanya dalam tempoh tidak sampai dua minggu lagi.

Lebih memburukkan keadaan, FAMA dikatakan tidak dapat membeli dan memasarkan kesemua buah daripada pekebun, sebaliknya hanya mengambil yang berkualiti premium sahaja.

Tambah Mohamad Paisal, setakat ini, pihaknya membeli lebih 25 tan harumanis daripada pengusaha dan sasaran operasi belian pada musim ini adalah sebanyak 100 tan.

Katanya, selalunya para pengusaha akan memasarkan sendiri hasil tanaman mereka namun sekiranya tiada pasaran, FAMA akan membantu.

“Mana-mana petani jika ada masalah datang kepada kita dan kita akan bantu dengan menyediakan platform untuk pasaran harumanis ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini