SETIAP individu dalam negara ini sepatutnya memahami hak dan tugas mereka sebagai rakyat, pemimpin dan pemerintah.
Perlembagaan perlu dijadikan panduan untuk menyuarakan hak dan melakukan sesuatu tindakan. Dalam negara demokrasi yang berasaskan kepada sistem Raja Berperlembagaan, maka para pemimpin dan pemerintah sepatutnya bekerjasama dan saling memahami hak dan tugas yang disandang oleh mereka.
Sikap gemar mendabik dada menunjukkan kehebatan diri dan status sehingga mengetepikan kepentingan rakyat dan negara bukan sahaja boleh menyebabkan struktur kepimpinan dan pentadbiran negara menjadi tidak stabil malah menyebabkan rakyat kurang yakin terhadap kewibawaan para pemimpin dan pemerintah.
Dalam negara yang dihuni kebanyakan rakyat pelbagai bangsa dan agama yang berpendidikan dan berfikiran universal, maka setiap tindak tanduk para pemimpin dan pemerintah menjadi renungan dan bahan perbualan rakyat.
Ini memberi kesan negatif terhadap kewibawaan sesuatu institusi walaupun merupakan satu institusi terpenting dalam sejarah pembentukan negara. Masyarakat masa kini lebih menumpu perhatian kepada aspek yang boleh mendatangkan kebaikan kepada diri daripada mempertahan institusi yang dianggap kurang memberi perkhidmatan kepada mereka.
Kebebasan bersuara dan pemilihan para pemimpin merupakan hak rakyat dalam negara demokrasi.
Ia sepatutnya dijadikan renungan oleh institusi tertentu supaya meneliti dan bermuhasabah sejauh manakah mereka berjaya meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah institusi yang mempertahankan hak agama, bangsa dan khazanah negara yang diwarisi sejak zaman silam.
Para pemimpin yang dipilih merupakan harapan dan naungan rakyat untuk menikmati kekayaan negara secara adil dan saksama.
Ketekunan dan keprihatinan mereka terhadap rakyat merupakan faktor utama yang boleh mengekalkan kedudukan mereka sebagai pemimpin negara. Para ahli politik perlu menerima hakikat bahwa kalah atau menang dalam pilihan raya adalah ditentukan oleh rakyat.
Sikap amanah, jujur dan cintakan negara dan rakyat sepertimana dipertontonkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda sepatutnya dijadikan sebagai panduan dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin negara.
Kritikan yang membina lebih dihormati oleh rakyat daripada menunjukkan sikap penentangan yang berunsur kepentingan peribadi dan kehebatan diri kerana rakyat dalam negara ini memahami sesuatu perkara atau isu berdasarkan kepada pemikiran rasional.
Rakyat yang miskin hanya mengharapkan kerajaan dapat melakukan pelbagai aktiviti yang boleh membantu mereka mengisi perut yang kosong dan menyediakan keperluan asas seperti perubatan dan sebagainya.
Jika keperluan asas rakyat dapat dilaksanakan dan sikap ketamakan terhadap kekayaan dapat dikikis dalam minda dan sanubari pemimpin, maka kerajaan akan dapat mengekalkan kedudukan mereka dalam tempoh yang lama.
Pertelingkahan antara para pemimpin kerajaan untuk mendapat jawatan dan kedudukan merupakan simbol kepada kelemahan kerajaan. Oleh itu pertontonkanlkepada masyarakat pemimpin parti kerajaan mementingkan rakyat dan negara bukan perebutan kuasa yang membosankan rakyat.
PROF.MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











